Semalam, Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kemasukan penonton ke kejohanan sukan di stadium atau venue mengikut kuota kapasiti yang telah ditetapkan mulai 1 April 2021.
Ia merupakan satu berita gembira kepada para peminat bola sepak tempatan yang hampir setahun tidak dapat memasuki stadium untuk memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka ekoran pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, terdapat beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) yang wajib dipatuhi oleh pengurusan pasukan Liga Malaysia iaitu dari segi penjualan tiket.
Menurut kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican dalam Bernama, semua pasukan Liga Malaysia wajib jual tiket perlawanan secara dalam talian (online) bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Hanya 10% atau 2,000 penonton dibenarkan masuk untuk kawasan PKPB dan 25% atau 8,000 penonton untuk kawasan PKPP.
“Ada macam-macam yang akan diperhalusi antaranya penjualan tiket yang mesti dilakukan dalam talian, dari segi perniagaan trak makanan juga masih ada SOP perlu dipatuhi termasuk juga soal kehadiran kanak-kanak,” katanya.
Selain itu, golongan warga emas dan kanak-kanak juga tidak digalakkan hadir ke stadium kerana mereka merupakan golongan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.
“Kanak-kanak tidak digalakkan pergi walaupun tiada undang-undang yang boleh menghalang mereka untuk pergi, sama seperti untuk golongan 60 tahun ke atas. Ini kumpulan dianggap yang mudah (dijangkiti) dan terdedah,” tambahnya.
Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Bola Sepak Cheras akan menjadi dua venue terawal yang menerima kehadiran semula penonton sebagai percubaan bagi menilai keberkesanan protokol pengurusan.
“POC (bukti konsep) ini amat penting. Jika saya seorang bercakap untuk menyakinkan kerajaan tidak cukup, saya minta juga sokongan daripada peminat sukan dalam usaha KBS menyemarakkan kembali kerancakan penonton ke stadium.
“Kalau mereka (penonton) gagal menunjukkan testimoni yang menyakinkan, barangkali ia tidak akan menjadi realiti untuk perlawanan berikutnya,” jelasnya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Sarawak United Kekalkan Rekod Tanpa Bolos, Elavarasan Puji Aksi Taylor Regan
Penyokong Kuala Lumpur ‘Bengang’ Dengan Pengurusan Pasukan, #TAMKeterehOut Jadi Perhatian