Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Bojan Hodak memuji aksi ditampilkan pemain muda, Muhd Izreen Izwandy yang beraksi dengan cukup baik ketika aksi Liga Super 2021 menentang UiTM FC, malam semalam.
Pemain sayap kiri berusia 21 tahun itu turut memberikan sumbangan berkesan apabila beliau melorongkan bola dengan begitu cantik kepada Dominique Da Sylva yang kemudiannya berjaya menyempurnakan peluang terhidang untuk gol tunggal perlawanan.
Keputusan 1-0 itu juga memberikan makna yang besar buat Bojan dan KL City berikutan ia merupakan kemenangan sulung buat kelab tersebut selepas mereka tunduk 0-1 bertemu Penang FC pada aksi sulung.
Meskipun gembira dengan keputusan tersebut, pengendali kelahiran Croatia itu berpendapat masih banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh anak buanya dalam menghadapi saingan musim ini.
“Bagi keputusan, saya memang gembira cuma prestasi masih jauh dengan apa yang saya mahukan biarpun kita dapat memastikan gawang pasukan tidak bolos pada hari ini.
“Kita boleh menamatkan permainan ini lebih awal tetapi dinafikan kecemerlangan penjaga gol lawan dan UiTM juga punyai dua peluang terbaik di penghujung perlawanan sebelum dinafikan Kevin (Ray Hansen), kami sememangnya layak untuk meraih tiga mata.
“Kami bermain sangat baik dalam 30 minit pertama tetapi untuk separuh masa kedua, persembahan pemain jauh daripada apa yang saya mahukan dan kita perlu perbaiki tahap penyudah.
“Izreen antara pemain yang beraksi dengan cukup baik pada hari ini cuma tahap keyakinannya masih rendah, jadi saya harap dengan lebih banyak aksi Liga Super yang akan dilalui, dia akan lebih meningkat pada perlawanan akan datang,” tambah Bojan Hodak lagi.
Satu kemenangan dan satu kekalahan selepas mengharungi dua perlawanan liga menyaksikan KL City kini menghuni tangga keenam setelah mengumpul tiga mata.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Lima Pemain Manchester United Dengan Gaji Tertinggi Musim 2020/2021