Penyokong setia Harimau Malaya kini sudah boleh mendapatkan tiket menyaksikan kesemua enam perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun ini pada satu harga istimewa iaitu RM100 menerusi laman web www.tickethotline.com.my.

Dengan harga RM100 itu, penyokong akan dapat menonton perlawanan Bahrain lwn Bangladesh dan Turkmenistan lwn Malaysia pada Rabu, 8 Jun 2022, Bangladesh lwn Turkmenistan dan Malaysia lwn Bahrain pada Sabtu, 11 Jun 2022 serta Bahrain lwn Turkmenistan dan Malaysia lwn Bangladesh pada Selasa, 14 Jun 2022, kesemuanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil iaitu satu perlawanan sebelah petang dan satu lagi perlawanan (membabitkan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon) sebelah malam.

Pengenalan ‘Tiket Kombo RM100’ itu dibuat bagi memudahkan para penyokong setia Harimau Malaya yang ingin hadir pada ketiga-tiga Hari Perlawanan tersebut tanpa perlu membuat pembelian tiket secara berasingan, selain dapat menikmati diskaun harga sebanyak hampir 20 peratus.

Selepas berakhir tempoh jualan iaitu pada 29 Mei 2022, penjualan akan tetap diteruskan sehingga hari perlawanan dengan tiket dijual secara berasingan iaitu berharga RM40 bagi setiap Hari Perlawanan.

FAM turut memperuntukkan penjualan sebahagian tiket untuk kategori tempat duduk Grandstand yang berharga RM60 untuk 1 Hari Perlawanan. Tiket kanak-kanak pula berharga RM7 untuk 1 Hari Perlawanan iaitu bagi yang membawa anak berusia 6 hingga 12 tahun.

Setiap penyokong boleh membeli maksimum sebanyak lima tiket dan setiap pembelian kesemua jenis kategori tiket di atas akan dikenakan tambahan caj pemprosesan dan caj bank, masing-masing mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Selain itu, tiket bagi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 iaitu Malaysia bertemu Myanmar pada Jumaat, 27 Mei 2022 dan Malaysia bertemu Hong Kong pada Rabu, 1 Jun 2022 yang mana kedua-dua perlawanan tersebut turut akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil turut dijual di laman web tersebut.

Bagi perlawanan menentang Myanmar dan Hong Kong ini, harga tiket yang telah ditetapkan ialah pada satu harga iaitu RM30 dewasa dan RM7 kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) bagi setiap perlawanan, tidak termasuk tambahan caj pemprosesan dan caj bank. Tiada tiket kategori Grandstand bagi kedua-dua perlawanan ini.

Semua tiket ini hanya akan dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my dan tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket stadium.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Sukan SEA 2021: Malaysia Kejutkan Thailand Di Saat Akhir

Nooa Laine Tidak Akan Beraksi Di Sukan SEA

Harimau Malaya Uji Myanmar Dan Hong Kong Di Stadium Nasional Bukit Jalil