Setiausaha agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Ratu Tisha mengesahkan pihaknya menyediakan 3000 tiket untuk para penyokong dari Malaysia yang akan hadir di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September ini untuk menyaksikan perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara skuad Garuda menentang Harimau Malaya.

Menurut laporan daripada Bolasport, kuota 3000 tiket ini diberikan atas permintaan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Bagaimanapun, masih belum diketahui dimana kawasan tempat duduk yang dikhaskan untuk penyokong dari Malaysia.

“Kelmarin, kami ada menerima kunjungan dari FAM. Mereka datang untuk meminta beberapa hal yang perlu disiapkan oleh PSSI selaku tuan rumah, antaranya ialah kuota tiket untuk penyokong Malaysia,” kata Ratu Tisha.

Pertemuan tersebut dihadiri oleh penolong setiausaha agung FAM, Abang Zulkarnain, ketua keselamatan FAM, M. Ashtar bin Rahim, dan pengurus skuad kebangsaan, Azfendy bin Azzuddin.

https://www.instagram.com/p/B1c5EsoA7Z1/?igshid=1msn4accckc5r

Ketika ini, PSSI sudah pun menjual tiket perlawanan melalui laman web rasmi mereka. Harga tiket bermula pada Rp123k (RM35) hingga Rp750k (RM220) untuk tempat duduk VIP. Ratu Tisha turut menjelaskan PSSI juga sudah menyiapkan keperluan logistik dan persiapan untuk menyambut kedatangan VIP dari Malaysia.

“Kami juga fokus kepada akses kawalan, untuk memastikan kelancaran kehadiran mereka,” katanya.

PSSI beri jaminan keselamatan

Ratu Tisha turut berharap perlawanan itu berlangsung dengan suasana aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Malah, pihaknya memberi jaminan keselamatan kepada skuad kebangsaan Malaysia sepanjang mereka berada di Jakarta.

“FAM juga meminta jaminan keselamatan untuk pasukan Malaysia dari mula kedatangan, sesi latihan, tempat penginapan hingga ke tempat perlawanan. Sudah tentu PSSI akan memberi kerjasama penuh kepada mereka,” kata Tisha.

https://www.instagram.com/p/B1bV2feBcVL/?igshid=1tqzzjtkkdraa

Sebelum ini, skuad Malaysia terpaksa menaiki kereta perisai (barracuda) ke Stadium Bung Karno, ketika pulang ke hotel penginapan selepas dikepung oleh penyokong tuan rumah dan diba­ling objek keras ketika beraksi pada final Piala AFF 2010.

Pada Sukan SEA 2011, situasi sama berlaku apabila pasukan negara dibawa menaiki barracuda selepas berdepan provokasi penyokong tuan rumah.

Tahun lalu, pemain skuad B-18 negara pula dibaling botol serta objek keras oleh peminat Indonesia yang tidak dapat menerima kekalahan pasukan mereka dalam separuh akhir Piala AFF Bawah 19 tahun di Jawa Timur.

Sumber