Isu panas mengenai pemain pasukan Pahang, Mohamadou Sumareh yang dikatakan tidak hadir ke sesi latihan pasukan kira-kira sejak sebulan yang lalu akhirnya disahkan sendiri oleh pengurus pasukan Datuk Suffian Awang yang ditemui selepas tamat Kongres FAM Ke-56 semalam.
Menjawab kepada media mengenai isu tersebut, beliau menjelaskan isu tersebut sudah pun sampai ke peringkat pimpinan tertinggi Pahang FA dan sebarang tindakan akan diperhalusi sebelum apa-apa kenyataan dikeluarkan nanti.
“Memang betul, maknanya berita yang ramai sudah tahu bahawa Sumareh tidak hadir untuk menjalani latihan kendalian Dollah Salleh hampir sebulan.”
“Hal tentang ketidakhadiran ini sudah dimaklumkan ke peringkat tertinggi pengurusan Pahang FA untuk keputusan selanjutnya. Perbincangan akan melihat apa juga tindakan yang akan diambil.”
“Saya melihat bahawa dalam senario ini hati Sumareh sudah tidak bersama Pahang. Itu pandangan peribadi saya, untuk pengetahuan peminat-peminat semua.”
“Tapi apa pun keputusan paling kita tunggu adalah dari pihak kepimpinan tertinggi Pahang FA tidak kira dalam apa bentuk denda dan sebagainya, kita serahkan kepada pihak tertinggi.”
“Dari segi hubungan kontrak itu masih ada sehinggan 2022, dan ketidakhadiran itu akan mengundang tindakan disiplin atau tindakan berikutnya yang boleh diambil oleh Pahang FA kerana Sumareh masih lagi pemain pasukan Pahang.”
“Kita ada berhubung dengan beliau, bertanya khabar, suasananya itu apabila hati sudah tidak bersama Pahang ni macam-macam alasanlah. Cukuplah saya berkongsi yang perasaan dia (Sumareh) sudah tidak bersama Pahang.”
Emel Sumareh Kepada Pengurusan Tertinggi Pahang Tiada Balasan
Ada juga yang mengatakan bahawa Sumareh telah menghantar emel kepada pengurusan tertinggi pasukan Pahang FA, namun gagal menerima sebarang balasan, Datuk Suffian Awang menjelaskan seperti berikut;
“Itu komen daripada dia, sebab saya tidak berada dalam peringkat penerimaan emel itu.Jadi saya tidak boleh katakan ia benar atau tidak.”
“Sebagai pengurus, seorang pemain akan berdamping dengan pengurusan dan jurulatih sebelum mengambil tindakan sesuatu.”
“Tetapi mungkin dia rasa hendak berhubung terus dengan pihak tertinggi Pahang FA, itu saya tidak ada pengetahuan langsung mengenai surat menyurat atau emel.”
Berdasarkan maklum balas yang diterima mengenai isu ini, jelas Sumareh sudah tidak mahu lagi beraksi dengan pasukan Pahang dan kemungkinan sedang menantikan masa yang sesuai untuk keluar dari pasukan tersebut serta berdepan dengan tindakan disiplin dari Pahang FA atas isu tidak hadir ke sesi latihan sejak sebulan lalu.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kamiĀ sediakan untuk anda.
2 Perlawanan, 6 Gol Tanpa Bolos, Nafuzi Zain Akui Cabaran Getir 2 Perlawanan Akan Datang.
Kerteh FC Jana Hampir RM55,000 Hasil Jualan 1,078 Helai Jersi Pasukan Dalam Tempoh 7 Bulan Sahaja
Media Indonesia: Sebelum Bintang Malaysia, Greg Nwokolo Lebih Dulu Menikmati Atmosfera Liga Portugal