Myanmar terus mencuri tumpuan dalam Kejuaraan Futsal AFF 2022 apabila berjaya melakarkan kemenangan 6-1 ke atas Australia pada aksi kedua saingan kumpulan B yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.
Masih segar dengan keupayaan mengikat Vietnam pada aksi semalam, Myanmar yang dibimbing Bunlert Charoenwong terus menyajikan aksi bertenaga dan Australia nyata tiada jawapan terbaik untuk menghadapi lawan tersebut.
Thyne Phwet Aung menggembirakan kem Myanmar seawal minit keempat apabila rembatan beliau selepas menerima hantaran lintang Myo Thet Aung berjaya menewaskan penjaga gol, Dylan Niski.
Australia bagaimanapun kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-10 selepas Anthony Haddad yang menerima umpanan menarik daripada Scott Rogan, menyudahkan ledakan padu dari sudut sukar.
Aung Zin Oo sekali lagi meletakkan Myanmar di hadapan ketika perlawanan memasuki minit ke-17 dimana beliau pantas melakukan percubaan susulan membolosi kawalan Niski ekoran rembatan pertamanya ditepis penjaga gol tersebut.
Separuh masa kedua jelas memperlihatkan dominasi Myanmar apabila mereka berjaya menambah empat lagi jaringan yang mana tiga daripadanya hadir dalam tempoh masa pantas.
Hein Min Soe menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-24 berikutan rembatan kaki kiri diledakkannya ketika situasi bola mati berjaya melepasi celah kaki Niskin untuk menambah derita lawan.
Tiga lagi jaringan skuad futsal Myanmar dihasilkan oleh Nyein Min Soe, Thyne Phwet Aung dan jaringan sendiri Dylan Niski untuk pasukan tersebut berada di tangga teratas kumpulan B dengan empat mata.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:
Futsal AFF 2022: Ambil Tanggungjawab Kekalahan, Chiew Chun Yong Tetap Berbangga Dengan Pemain
Futsal AFF 2022: Tunduk Kepada Indonesia, Misi Skuad Negara Ke Separuh Akhir Kian Kabur
Futsal AFF 2022: Australia Bangkit Di Babak Kedua Untuk Atasi Timor Leste