Thailand memastikan skuad negara pulang ke tanah air dengan lebih awal apabila berjaya mencatatkan kemenangan 4-2 pada aksi terakhir kumpulan A Kejuaraan Futsal AFF 2022 yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.
Ketika ramai yang menjangkakan pasukan tuan rumah akan mudah meraih kemenangan pada perlawanan ini, barisan pemain negara membuktikan semangat juang tinggi terutamanya ketika bertahan.
Disiplin ketika bertahan yang ditampilkan jelas memberikan masalah buat Thailand yang sentiasa mencari ruang terbaik untuk mendapatkan jaringan dimana peledak berbisa, Muhammad Osamanmusa menjadi tumpuan utama.
Bagaimanapun, faktor kualiti, konsentrasi serta aspek kecergasan dalam kalangan pemain menjadi jurang yang memisahkan kedua-dua pasukan.
Thailand yang memberikan tekanan hebat sejak dari awal permainan membuka tirai jaringan pada minit ketujuh selepas Tanapol Maneepetch menyudahkan dengan tenang lorongan Kritsada Wongkeao bagi menggembirakan penyokong tuan rumah.
Aksi selepas itu memperlihatkan Thailand menggandakan asakan, namun penjaga gol skuad negara, Syawal Sabaruddin tangkas dalam menghalang gawangnya daripada dibolosi.
Skuad negara turut mencipta peluang terbaik tetapi rembatan padu dari luar D diledakkan Ekmal Shahrin sekadar singgah di palang gol ketika penjaga gol Thailand, Katawut Hankampa sudah pun tertewas.
Kehampaan itu ditebus pada minit ke-12 apabila serangan balas yang dimulakan oleh Ekmal berjaya disudahkan dengan baik Muhammad Farhan Khairul Anuar untuk kembali mengikat kedudukan.
Muhammad Farhan sekali lagi melonjakkan kegembiraan buat kem negara selepas beliau bijak menolak masuk bola susulan menerima lorongan cantik dilakukan Ekmal untuk memberikan sedikit harapan untuk layak ke separuh akhir pada minit ke-27.
Namun, kelebihan itu hanya mampu bertahan dua minit apabila Sarawut Phalaphruek kembali menyamakan kedudukan menerusi percubaan leret ketika Syawal sudah keluar daripada posisinya ketika situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol.
Jaringan itu ternyata menyemarakkan lagi semangat anak buah Carlos Cesar Nunez Gago itu untuk menambah jaringan dan ia membuahkan hasil pada minit ke-34 juga menerusi Sarawut.
Langkah Chiew Chun Yong dalam menerapkan taktikal ‘powerplay’ untuk memburu jaringan penyamaan dilihat memakan diri selepas kesilapan Azwann Ismail yang gagal mengawal bola dengan baik memberikan ruang buat Kritsada untuk menambah jaringan keempat.
Kedudukan 4-2 itu kekal hingga tamat permainan untuk skuad futsal Thailand menamatkan peringkat awal sebagai juara kumpulan bagi menempah pertemuan dengan Vietnam manakala satu lagi aksi menemukan Myanmar dan Indonesia.