Thailand dipaksa berhempas pulas sebelum mengesahkan kemaraan ke final Kejuaraan Futsal AFF 2022 apabila menewaskan Vietnam 3-1 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.
Berdepan lawan yang turut berpengalaman dalam kancah Piala Dunia Futsal, Thailand jelas berdepan masalah untuk meraih kemenangan mudah pada perlawanan ini.
Malah, Vietnam juga dilihat lebih banyak mencipta peluang terutamanya pada separuh masa pertama tetapi kecemerlangan penjaga gol Thailand, Katawut Hankampa menggagalkan usaha mereka.
Jaringan pembukaan buat pasukan tuan rumah menjelma pada minit ke-22 selepas kawalan baik Osamanmusa di sebelah kanan pintu gol lawan disudahkannya dengan satu rembatan tonjol yang hanya mampu dipandang penjaga gol, Ho Van Y.
Corak permainan yang semakin menarik untuk disaksikan itu memperlihatkan Vietnam berusaha keras bagi mendapatkan jaringan penyamaan. Usaha tersebut membuahkan hasil pada minit ke-32 menerusi jaringan Nguyen Min Tri.
Berpunca daripada situasi sepakan sudut yang diambil Nguyen Manh Dung membolehkan Pham Duc Hoa mengumpan bola buat Min Tri yang tidak mensia-siakan peluang untuk menewaskan Hankampa.
Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Carlos Cesar Nunez Gago memperkemaskan aksi dengan melakukan deretan percubaan ke kubu Vietnam.
Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh Osamanmusa yang tidak dikawal pemain Vietnam lalu meledakkan rembatan padu untuk sekali lagi menghampakan Van Y di gawangnya.
Ketua pasukan, Kritsada Wongkaeo mematikan api perjuangan skuad kendalian Pham Minh Giang pada minit ke-40 untuk mengesahkan tempat skuad futsal Thailand ke final buat kali ke-16.
Menanti Thailand pada aksi final yang dijadualkan pada Ahad ini ialah Indonesia. Aksi yang bukan sahaja ulangan perlawanan di peringkat kumpulan tetapi kedua-dua pasukan turut bertemu pada aksi final edisi 2019 di Vietnam.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:
Futsal AFF 2022: Indonesia Tamatkan Saingan Kumpulan Dengan Bergaya