Kebangkitan pada lewat permainan membantu Thailand menjulang Kejuaraan Futsal AFF 2022 selepas berjaya menundukkan Indonesia 5-3 (terikat 2-2 masa sebenar) menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.

Kejayaan manis itu juga sekali gus merupakan mahkota kejuaraan buat kali kesembilan berturut-turut dilakarkan Thailand sepanjang menyertai kejohanan ini sejak tahun 2001.

Laluan yang begitu sukar dilalui Thailand apabila mereka ketinggalan dengan dua jaringan sehingga minit ke-39 perlawanan dan ia nyata hampir meragut impian tuan rumah untuk muncul juara.

Thailand yang memburu kejuaraan ke-16 bermula dengan cukup garang selepas hantaran jauh Muhammad Osamanmusa terus mencari Panut Kittipanuwong untuk menewaskan penjaga gol, Muhammad Albagir. Namun, percubaan pemain Free Fire Chonburi Bluewave itu pada minit pertama sekadar singgah di tiang gol.

Aksi selepas itu memperlihatkan barisan pemain Indonesia sudah dapat menyesuaikan diri dengan permainan dan mula memberikan ancaman ke kubu Thailand.

Dua serangan balas dilakukan hampir menghasilkan jaringan buat skuad kendalian Mohammad Hashemzadeh itu tetapi pemain Thailand kental bertahan untuk menghalang usaha hebat dijelmakan Indonesia.

Kem tuan rumah dikejutkan pada minit kelapan apabila Holypaul Septinus Soumilena menolak masuk bola susulan hantaran lintang Firman Adriansyah dalam kawasan D bagi meletakkan Indonesia di hadapan.

Tersentak dengan jaringan itu, Thailand menggandakan asakan untuk mendapatkan jaringan penyamaan dimana Osamanmusa menjadi tumpuan utama bagi merealisasikan usaha tersebut.

Kredit Foto: Thailand NT Official

Bagaimanapun, kecemerlangan Albagir di gawangnya sentiasa menjadi penghalang utama kepada usaha anak buah Carlos Cesar Nunez Gago yang melancarkan deretan percubaan berbahaya.

Ketika Thailand terus memberikan tekanan, Indonesia bijak mencuri peluang untuk melebarkan kedudukan pada minit ke-25 apabila hantaran silang Syauqi Saud membolehkan Ardiansyah Runtuboy menolak masuk jaringan kedua.

Thailand yang masih tidak berputus-asa meskipun ketinggalan dua jaringan berjaya merapatkan defisit jaringan dengan gol menerusi taktikal ‘powerplay’ Krit Aransanyalak pada minit ke-39 untuk memberikan sedikit harapan kebangkitan.

Gol penting itu terus menyalakan api perjuangan buat para pemain Thailand dan ia terbukti ketika aksi hanya berbaki 30 saat untuk ditamatkan apabila Osamanmusa meledakkan jaringan penyamaan sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Indonesia terpaksa bermain dengan empat pemain bagi tempoh dua minit selepas Soumilena dilayangkan kad merah berikutan kekasaran dilakukannya terhadap Kritsada Wongkeao.

Usaha bertali-arus Thailand pada masa tambahan tidak mampu untuk menambah jaringan bagi juara edisi ke-17 terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti seperti aksi Vietnam dan Myanmar.

Kegagalan Ardiansyah Runtuboy menyempurnakan sepakan sudah cukup untuk memberikan kejayaan buat skuad futsal Thailand selepas lima pemain mereka iaitu Osamanmusa, Ronnachai Jungwongsuk, Panut Kittipanuwong, Krit Aransanyalak dan Peerapat Kaewwilai mengambil tugasan mereka dengan baik.

Sepakan penalti

Indonesia

1) Firman Adriansyah – Gol

2) Ardiansyah Runtuboy – Diselamatkan Katawut Hankampa

3) Syauqi Saud – Gol

4) Ardiansyah Nur – Gol

Thailand

1) Muhammad Osamanmusa – Gol

2) Ronnachai Jungwongsuk – Gol

3) Panut Kittipanuwong – Gol

4) Krit Aransanyalak – Gol

5) Peerapat Kaewwilai – Gol