Indonesia menepati ramalan dengan melayakkan diri ke pentas final Kejuaraan Futsal AFF 2022 selepas berjaya mencatatkan kemenangan 6-1 bertemu Myanmar pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.
Kejayaan manis tersebut bukan sahaja mengulangi pencapaian mereka pada edisi 2019, malah skuad kendalian Mohammad Hashemzadeh itu turut mengesahkan tempat ke Kejuaraan Futsal AFC 2022 yang bakal berlangsung di Kuwait pada September nanti.
Corak permainan pantas ditampilkan kedua-dua pasukan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil dari Iran, Ali Hafizi dimana Indonesia lebih mendominasi permainan tetapi Myanmar kelihatan cukup berbahaya dengan serangan balas pantas.
Penjaga gol Indonesia, Muhammad Albagir terus menjadi tumpuan apabila beliau bertindak cemerlang dalam menghalang pemain Myanmar untuk mendapatkan jaringan terutamanya pada babak pertama.
Syauqi Saud menceriakan kem Indonesia pada minit ke-17 selepas ledakannya ketika menerima umpanan dilakukan Ardiansyah Runtuboy dalam situasi sepakan sudut meletakkan mereka di hadapan.
Myanmar berpeluang untuk kembali menyamakan kedudukan berselang dua minit kemudian tetapi sepakan penalti kedua (10 meter) daripada Myo Htet Aung dinafikan dengan baik Albagir.
Naib juara edisi 2019 di Vietnam itu menambah jaringan kedua menerusi Holypaul Septinus Soumilena yang melakukan kuisan berkelas dunia sekali gus menewaskan penjaga gol Myanmar, Kyaw Htet Aung pada minit ke-23.
Kedudukan terus berubah dua minit kemudian selepas lorongan daripada Syuqi Saud selepas beliau melepasi kawalan tiga orang pemain Myanmar disudahkan dengan tenang Ardiansyah Runtuboy.
Tidak cukup dengan kelebihan dimiliki, Runtuboy menambah jaringan keempat yang merupakan gol kedua peribadinya pada perlawanan ini untuk terus mengukuhkan kedudukan.
Keadaan itu membuatkan Bunlert Charoenwong memilih untuk menggunakan taktikal ‘powerplay’ bagi mendapatkan jaringan dan ia membuahkan hasil pada minit ke-37 apabila rembatan Hlaing Min Tun dari sudut sukar berjaya membolosi kawalan Albagir.
Namun, keadaan itu tidak mampu bertahan lama selepas dua kesilapan ketika taktikal tersebut dimainkan memberikan peluang buat skuad futsal Indonesia untuk menambah dua lagi gol menerusi Guntur Sulistyo Ariwibowo dan Mochammad Iqbal Rahmatullah.