Ketua jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong tanpa berselindung mengakui beliau mengambil tanggungjawab terhadap taktikal yang digunakannya sehingga menutup terus peluang Malaysia untuk bangkit pada pertemuan dengan Indonesia, petang semalam.
Chun Yong yang juga merupakan antara legenda futsal negara menerapkan taktikal ‘powerplay’ ketika skuad negara ketinggalan 1-3 dalam usaha untuk kembali bangkit tetapi segalanya tidak menjadi apabila Indonesia menambah dua lagi jaringan ekoran kelalaian para pemain ketika menggunakan taktikan tersebut.
Kekalahan itu juga menyaksikan peluang skuad negara untuk layak ke separuh akhir kelihatan semakin tipis untuk direalisasikan berdasarkan pemerhatian di atas kertas apatah lagi mereka perlu berhadapan dengan pasukan berkelas dunia, Thailand pada aksi terakhir.
“Ya sekali lagi pada perlawanan bertemu Indonesia hari ini kami kalah 5-1, jurang gol kelihatan besar tetapi sekiranya anda perasan pada separuh masa pertama, sebenarnya Malaysia bermain dengan sangat baik.”
”Mereka hampir mendapat peluang untuk memperoleh jaringan pendahuluan pada separuh masa pertama,” ujar Chun Yong bercakap selepas aksi semalam.
“Mereka turut bertahan dengan sangat baik dan mempamerkan corak permainan kental dalam sistem bertahan. Tetapi hanya pada separuh masa kedua, tiada keraguan bahawa Indonesia beraksi dengan lebih baik dan Malaysia mula kekurangan fokus terutamanya pada minit awal menerusi situasi bola mati.”
“Kami cuba untuk bangkit dan pada lima minit terakhir kami cuba untuk menerapkan taktikal ‘powerplay’ kerana saya berniat dan motif saya adalah untuk mendapatkan jaringan penyamaan dan menambah gol [kemenangan]sebelum kami bertemu Brunei dan Thailand.”
”Saya mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap taktikal ini. Para pemain telah memberikan yang terbaik dan saya sangat berbangga dengan mereka. Mental mereka juga sangat kuat, hanya beberapa kesilapan-kesilapan kecil yang kami perlu perbaiki terutamanya ketika bertemu Thailand,” tambah Chiew Chun Yong lagi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:
Futsal AFF 2022: Tunduk Kepada Indonesia, Misi Skuad Negara Ke Separuh Akhir Kian Kabur
Futsal AFF 2022: Australia Bangkit Di Babak Kedua Untuk Atasi Timor Leste
Futsal AFF 2022: Vietnam Gagal Pamer Belang, Sekadar Terikat Dengan Myanmar