Vietnam gagal menggunakan kesempatan mendominasi keseluruhan permainan apabila hanya mampu mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Myanmar pada aksi sulung kumpulan B Kejuaraan Futsal AFF 2022 yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.
Tidak seperti aksi dalam kumpulan A dimana menyaksikan begitu banyak jaringan telah terhasil, Vietnam kelihatan cukup bergelut untuk membuktikan kejaguhan mereka sebagai pasukan yang bersaing pada dua edisi Piala Dunia.
Disiplin tinggi dipamerkan barisan pemain Myanmar ketika bertahan sepanjang 40 minit perlawanan nyata memberikan kesukaran buat Vietnam untuk mendapatkan jaringan.
Manakala, Myanmar yang dibimbing pengendali dari Thailand, Burnlert Charoenwong pula dilihat hanya bergantung kepada serangan balas pantas bagi memberikan ancaman.
Setiap asakan dilancarkan anak buah Pham Minh Giang itu berjaya dinafikan dengan cukup baik pemain Myanmar yang bermati-matian menyerap tekanan lawan.
Bagaimanapun, hanya sedikit kealpaan menghukum Myanmar pada minit ke-14 apabila Nhan Gia Hung mudah menolak masuk bola selepas beliau menerima lorongan cantik daripada Nguyen Thinh Phat susulan serangan balas pantas dilancarkan.
Keadaan itu meningkatkan lagi moral pemain Vietnam untuk mengatur gerakan bertubi-tubi dalam usaha mereka bagi menambah jaringan. Namun, penyudah kurang berkesan menjadi masalah utama buat mereka.
Ketika perlawanan memasuki minit ke-28, Myanmar tanpa disangka-sangka berjaya mengikat kembali kedudukan apabila rembatan tonjol Myo Myint Soe ketika situasi sepakan percuma gagal diselamatkan penjaga gol, Ho Van Y.
Meskipun aksi selepas itu memperlihatkan penguasaan diteruskan oleh skuad futsal Vietnam, tetapi Myanmar kental bertahan untuk memastikan perlawanan berakhir dengan keputusan 1-1.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:
Futsal AFF 2022: Tanpa Belas Kasihan, Thailand Belasah Kemboja 16-0
Futsal AFF 2022: Indonesia Berkenduri Jaringan, Tambah Duka Brunei
Futsal AFF 2022: Malaysia ‘Berpeluh’ Sebelum Raih Kemenangan Ke Atas Kemboja