Indonesia menambah duka buat Brunei dalam Kejuaraan Futsal AFF 2022 selepas berkenduri jaringan untuk mencatatkan kemenangan 12-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.
Ia merupakan kali kedua berturut-turut skuad kendalian Muhammad Abdul Azim itu menjadi mangsa belasahan apabila semalam mereka tunduk 13-0 di tangan tuan rumah, Thailand.
Mendapat sentuhan ketua jurulatih baharu dari Iran, Mohammad Hashemzadeh, Indonesia jelas mempamerkan corak permainan menarik sebaik sahaja permainan dimulakan sehingga membolehkan mereka mendahului 7-0 pada babak pertama.
Ia jelas dibuktikan setelah pemain pivot, Holypaul Septinus Soumilena berjaya meledakkan dua jaringan pantas pada minit kedua dan ketiga.
Dua gol tersebut nyata menyemarakkan lagi api perjuangan skuad Indonesia untuk menambah jaringan dan Rio Pangetsu menjadikan kedudukan 3-0 berselang dua minit kemudian.
Ketua pasukan Indonesia, Sunny Rizky Suhendra yang tidak dikawal ketika mendapat umpanan baik daripada Dewa Rizki Amanda dengan tenang menolak masuk bola bagi mengukuhkan kedudukan.
Tidak cukup dengan itu, giliran Syauqi Saud pula meletakkan nama selaku penjaring pada minit ke-13 dimana beliau melakukan tolakan mudah berpunca daripada ‘setpiece’ di sebelah kiri pintu gol Brunei.
Ketika Brunei kelihatan sudah mula mendapat rentak, Indonesia pantas mematikan momentum tersebut dengan dua jaringan tambahan yang dihasilkan pada minit ke-19 dan 20 menerusi Ardiansyah Runtuboy dan Syauqi Saud.
Aksi di babak kedua menyaksikan Brunei memperkemaskan corak permainan dan tampil dengan lebih tersusun, Bagaimanapun, kekentalan penjaga gol, Muhammad Iksan Rahadian nyata mengecewakan Brunei.
Sementara itu, skuad futsal Indonesia pula menambah lima lagi jaringan menerusi Ardiansyah Nur, Ardiansyah Runtuboy manakala dua gol lagi diledakkan oleh Dewa Rizki Amanda dan gol sendiri daripada Khalil Saab untuk memastikan kemenangan selesa buat mereka.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:
Futsal AFF 2022: Kesilapan Mudah Buat Chiew Chun Yong ‘Pening Kepala’
Futsal AFF 2022: Malaysia ‘Berpeluh’ Sebelum Raih Kemenangan Ke Atas Kemboja