Ketua jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong jelas tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan anak buahnya meskipun berjaya mencatatkan kemenangan 7-6 bertemu Kemboja pada aksi sulung Kejuaraan Futsal AFF 2022 di Bangkok, semalam.
Ketika barisan pemain negara tajam di hadapan gol dengan tujuh jaringan terhasil, Chun Yong ada sebab tersendiri untuk berasa gusar susulan kelemahan ketara ketika bertahan terutamanya apabila menghadapi serangan balas pantas pasukan lawan.
Kerisauan itu ada asasnya kerana pada petang esok, skuad negara akan membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Indonesia dimana negara jiran tersebut kini sudah mendapat sentuhan pengendali dari Iran.
Di samping mengharapkan segala kelemahan tersebut dapat diperbaiki, Chun Yong yang mula membimbing skuad futsal negara sejak Ogos 2016 itu tetap yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk kembali bangkit.
Malah, beliau turut mengakui terdapat perubahan dari segi perancangan permainan akan dilakukan bagi perlawanan esok dalam usaha untuk mengekang Indonesia.
“Ya, hari ini [semalam] kami mencatatkan kemenangan, meraih tiga mata penuh tetapi jelas sekali kami tidak beraksi seperti yang diharapkan,” ujar Chun Yong selepas perlawanan bertemu Kemboja.
“Sudah pasti saya tidak berpuas hati dengan perlawanan hari ini dan banyak perkara yang kami perlu perbaiki. Saya faham ini merupakan perlawanan antarabangsa pertama buat para pemain kami selepas dua tahun setengah tetapi saya tidak mahu memberikan sebarang alasan pada perlawanan ini.”
“Ini kerana dari segi serangan balas pantas [Kemboja], kami seharusnya dapat menghadapi serangan tersebut.”
“Enam gol menerusi serangan balas pantas dihasilkan oleh Kemboja, bagi saya ia tidak boleh diterima. Ini merupakan aspek yang kami perlu pertingkatkan apabila kami bertemu Indonesia [esok].”
“Bertemu Indonesia adalah satu perlawanan yang sukar dan saya tidak mahu melihat kesilapan-kesilapan mudah dari segi ‘marking’, sangat tidak teratur daripada apa yang kita lihat hari ini.”
“Tetapi saya masih percaya para pemain cukup kuat untuk mengatasi masalah ini dan kembali meningkat pada perlawanan seterusnya,” tambah Chiew Chun Yong lagi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:
Futsal AFF 2022: Malaysia ‘Berpeluh’ Sebelum Raih Kemenangan Ke Atas Kemboja
Skuad Thailand Semakin Bernafsu Hadapi Kejuaraan Futsal AFF 2022