Aksi lebih meyakinkan di babak kedua menyaksikan Australia berjaya menundukkan Timor Leste 7-4 pada aksi sulung kumpulan B Kejuaraan Futsal AFF 2022 yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.
Ketika ramai menjangkakan Australia bakal mendapat kemenangan mudah ekoran jurang ranking dunia melibatkan kedua-dua pasukan tetapi Timor Leste tampil dengan semangat yang luar biasa.
Malah, skuad kendalian Jorge Da Silva itu membuatkan Australia tersentak buat seketika apabila berjaya mendahului lawan tersebut 4-3 pada separuh masa pertama.
Australia yang gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi 2019 di Vietnam membuka tirai jaringan pada minit keempat selepas Daniel Fornito merembat masuk bola ketika situasi sepakan sudut.
Kegembiraan Australia bagaimanapun hanya bertahan seminit apabila Timor Leste kembali menyamakan kedudukan menerusi Miguel Fernandes selepas rembatannya tidak mampu dihalang dengan baik penjaga gol, Mark Brackenrig.
Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral para pemain Timor Leste yang semakin memperkemaskan aksi untuk menambah jaringan dimana usaha mereka membuahkan hasil pada minit kelapan.
Berpunca daripada hantaran lambung Eufrasio Amaral Soares ke dalam kawasan D Australia membolehkan Bendito Xinenes untuk melepasi kawalan Brackenrig dan kemudiannya mudah buat beliau untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Seminit kemudian, giliran ketua pasukan Australia, Shervin Adeli pula kembali menyamakan kedudukan setelah beliau menyempurnakan peluang dengan menyambar hantaran sepakan sudut Wade Giovenali.
Aksi bertambah menarik dengan Timor Leste menambah jaringan ketiga pada minit ke-13 menerusi Mesquita Joaquim dan kemudiannya Nicholas Rathjen menolak masuk bola untuk mengikat kedudukan berselang lima minit kemudian.
Ketika kedua-dua pasukan sudah berkira-kira untuk melangkah ke bilik persalinan, Ahmad Sweedan tertampan bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk menghalang percubaan daripada Andre Vong bagi memberikan kelebihan buat Timor Leste.
Bagaikan mendapat mendapat tonik berguna diberikan pengendali pasukan, Miles Downie, Autralia tampil dengan lebih kemas pada separuh masa kedua.
Selain itu, kemasukan penjaga gol kedua, Dylan Niski juga turut memainkan peranan dalam menggagalkan beberapa peluang terbaik dimiliki Timor Leste untuk menambah jaringan.
Empat lagi jaringan yang dihasilkan oleh Australia pada babak kedua hadir menerusi dua gol daripada Scott Rogan serta masing-masing satu gol oleh Jordan Guerreiro dan Shervin Adeli bagi meletakkan skuad futsal Australia kini di tangga teratas kumpulan B.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:
Futsal AFF 2022: Vietnam Gagal Pamer Belang, Sekadar Terikat Dengan Myanmar
Futsal AFF 2022: Tanpa Belas Kasihan, Thailand Belasah Kemboja 16-0
Futsal AFF 2022: Indonesia Berkenduri Jaringan, Tambah Duka Brunei