Peminat bola sepak Perak akhirnya menerima berita gembira apabila Kelab Bola Sepak Perak (PFC) hari ini mengumumkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah menarik balik larangan perpindahan terhadap pasukan tersebut.
Perkembangan itu diumumkan menerusi kenyataan rasmi kelab selepas PFC menerima email daripada FIFA yang menyatakan bahawa ia telah menerima surat-menyurat daripada pemiutang, bahawa dana yang terhutang telah dipindahkan ke akaun masing-masing mengikut Perkara 13, Peraturan yang Mentadbir Prosedur Jawatankuasa Status Pemain dan Penyelesaian Pertikaian Dewan.
PFC sebelum ini dikenakan sekatan perpindahan ekoran kegagalan mereka melunaskan tunggakan gaji pemainnya beberapa bulan lalu. Namun, isu tersebut berjaya diselesaikan selepas kelab tersebut diambil alih oleh pemilik baharu iaitu XOX Berhad.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FAM dan MFL atas bantuan serta bimbingan mereka.
“Agenda ini adalah keutamaan kami, untuk memastikan kelab dapat mendaftar pemain yang berkaliber. Malangnya, penyokong terpaksa mengharungi sesi pertama musim ini dengan skuad terhad dan potongan mata,” kata Dato Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Pengerusi Perak FC.
“Ini menunjukkan komitmen kami untuk memastikan Perak FC dapat mengekalkan sejarah 101 tahunnya, lalu melangkah ke kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang. Jangan lupa, usaha gigih pemain junior dan muda kita yang telah mencuba yang terbaik pada sesi pertama musim ini,” tambahnya.
FIFA hari ini telah menarik balik larangan perpindahan ke atas Perak FC. Anda sedia menyaksikan skuad penuh beraksi? Jom ke Stadium Perak, Ipoh pada hari Ahad (19/06), 9pm!
⚪🟡⚫#XOXMalaysia#ONEXOX#PerakFC#RiseAsOne pic.twitter.com/qvKdYlw3Oq
— Perak Football Club (@perakfcofficial) June 16, 2022
Dengan pembatalan sekatan perpindahan ini, Perak FC bakal membawa masuk pemain import baharu yang beraksi di posisi tengah bertahan, tengah dan penyerang.
Penyerang dimaksudkan ialah Stipe Plazibat yang merupakan pemain berpengalaman luas dalam kancah bola sepak di Asia Tenggara. Hal ini kerana beliau beraksi selama empat musim di Singapura dan setahun bersama Bangkok Glass [Thailand].
Pada musim terakhirnya [2020/21] di Singapura ketika menyarung jersi Lion City Sailors, Plazibat berjaya menjaringkan 14 gol dalam 17 penampilannya bersama kelab tersebut. Selain Lion City Sailors, Plazibat turut pernah beraksi bersama Home United dan Hougang United.
Lebih menarik mengenai pemain berusia 32 tahun ini, beliau merupakan teman baik kepada bintang Croatia, Ivan Perisic dimana mereka bermain bersama selama sembilan tahun di peringkat remaja. Kedua-dua mereka merupakan produk keluaran Akademi Hajduk Split.
Sementara itu, dua lagi pemain yang bakal diuji menentang Christian Seoul University pada Ahad nanti ialah Luciano Guaycochea dari Argentina dan pemain tengah bertahan kelahiran Nigeria, Sunday Kolawole Afolabi.
Sekiranya ketiga-tiga pemain tersebut berjaya mempamerkan kemampuan hebat sebagai pemain import sehingga ditawarkan kontrak, kehadiran mereka nyata dapat menambah kekuatan Perak yang akan turut mendaftarkan 14 pemain tempatan baharu seperti Indra Putra Mahayuddin, Syamim Yahya, Wan Zack Haikal Wan Nor dan ramai lagi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.
Pemain Tengah Thailand, Sanrawat Dechmitr Sah Sertai Kedah Darul Aman
Nik Sharif Haseefy Sertai Terengganu Secara Pinjaman Selama 6 Bulan