Pemain pertahanan Uruguay, Jose Gimenez berdepan hukuman digantung 15 perlawanan selepas menyiku pengadil pada aksi terakhir peringkat kumpulan H menentang Ghana dalam temasya Piala Dunia 2022.

Baca Juga:

Uruguay menewaskan Ghana dengan keputusan 2-0 menerusi jaringan Giorgian De Arrascaeta namun mereka gagal untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir setelah Korea Selatan menewaskan Portugal dengan keputusan 2-1.

Perlawanan antara kedua pasukan diwarnai dengan beberapa keputusan kontroversi yang dilakukan oleh pengadil, terutamanya selepas Hwang Hee-chan menjaringkan gol kedua untuk Korea.

Beberapa pemain bintang Uruguay seperti Edinson Cavani dan Jose Gimenez berang terhadap pengadil, Daniel Siebert selepas beliau tidak memberikan sepakan penalti ketika Cavani dijatuhkan dalam kawasan penalti.

Selepas mengetahui Uruguay terkeluar dari temasya Piala Dunia menerusi perbezaan jaringan, para pemain melampiaskan kemarahan mereka terhadap Siebert.

Gimenez menyiku kepala Siebert di bahagian belakang ketika beliau mahu mendapatkan penjelasan mengapa pengadil itu tidak memberikan sepakan penalti yang mungkin membawa mereka ke peringkat seterusnya.

Selain itu, pemain berusia 27 tahun itu turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil yang mana berjaya dirakam oleh salah satu camera di stadium.

“Mereka (pengadil) adalah sekumpulan pencuri. Semua anak haram. Ya tolong rekod saya. Anak haram!,” dipetik dari laporan Mirror.

Selain Gimenez, dua lagi pemain iaitu Cavani dan Luis Suarez juga berdepan hukuman dari FIFA selepas menendang kotak VAR sebelum meninggalkan padang.

Suarez turut mengkritik pengadil kerana tidak memberikan sepakan penalti kerana menurut beliau, Cavani jelas dijatuhkan oleh pemain Ghana.

“Saya lihat insiden melibatkan Cavani patut diberikan sepakan penalti kerana beliau dijatuhkan. Ini bukan mencari alasan. Jawatankuasa pengadil perlu memberikan penjelasan yang terperinci mengenai insiden ini,” katanya.