Disebalik kemenangan skuad Harimau Malaya ke atas India pada hari jumaat lepas, segelintir peminat bola sepak tempatan sempat menyuarakan rasa tidak puas hati di laman sosial mengenai isu siaran langsung perlawanan Pestabola Merdeka 2023.
Baca Juga:
- Pestabola Merdeka 2023: Jurulatih Tajikistan Minta Pengadil Lebih Bagus Pada Aksi Final
- Pestabola Merdeka 2023: Operasi LRT Bukit Jalil Dilanjutkan Sehingga Tengah Malam
- Final Pestabola Merdeka 2023 Kekal Di Stadium Nasional Bukit Jalil
Tidak semua penyokong mampu hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kerana jarak perjalanan yang jauh selain menghadapi kekangan masa. Justeru itu, mereka bergantung pada akses televisyen bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
Tidak kira dalam atau luar negara, setiap perlawanan melibatkan skuad kebangsaan sentiasa mahu ditonton oleh peminat sukan negara namun mereka persoalkan kenapa ia tidak disiarkan di saluran TV milik kerajaan.
Persoalan tersebut akhirnya terjawab apabila Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Suhaimi Sulaiman menjelaskan pihaknya tidak boleh menyiarkan perlawanan Pestabola Merdeka kerana hak siaran dipegang oleh stesen TV lain yang berbayar.
“Untuk Pestabola Merdeka, RTM tidak menyiarkannya kerana hak penyiaran telah dibeli oleh penyiar lain. Jika RTM menyiarkannya, RTM akan dikenakan tindakan undang-undang,” jelas Suhaimi.
Acara sukan ada hak penyiaran yg dijual oleh mereka yg memegang hak. Untuk Pesta Bola Merdeka RTM tidak menyiarkannya kerana hak penyiaran telah dibeli oleh penyiar lain. Jika RTM menyiarkannya RTM akan dikenakan tindakan undang-undang. https://t.co/lzVaS7IDNL
— Suhaimi Sulaiman (@suhaimisulaiman) October 14, 2023
Perkara itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong kerana tidak boleh menonton perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya secara percuma di saluran RTM.
Disebabkan itu, mereka terpaksa mencari alternatif lain dengan menonton secara ‘haram’ tanpa langganan berbayar menerusi ‘streaming’ dalam talian.
Para penyokong yang berkelapangan boleh datang ke mana-mana lokasi ‘tayangan skrin besar’ yang menyiarkan aksi Harimau Malaya dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023 secara percuma.
Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Jabatan Belia Dan Sukan Negara (JSBN) sentiasa menyediakan skrin besar di lokasi terpilih untuk orang ramai menonton beramai-ramai sambil memberikan sokongan padu.
Inisiatif ini dilakukan oleh pihak kerajaan sekiranya terdapat perlawanan-perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan negara terutamanya dalam sukan bola sepak.
Pestabola Merdeka merupakan kejohanan bola sepak jemputan tertua di Asia yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.