Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa Final Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia menentang Tajikistan kekal akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.
Baca Juga:
- TMJ Berikan Komen Mengenai Padang Baharu SNBJ
- FAM Tak Berminat Bida Tuan Rumah Piala Dunia 2034
- Perbadanan Stadium Malaysia Yakin Masalah Padang SNBJ Dapat Diatasi Sebelum Kelayakan Piala Dunia
Keputusan ini dibuat menerusi mesyuarat yang diadakan sejurus pemeriksaan keadaan terkini padang di stadium tersebut, tengah hari tadi yang mana selepas penelitian dan penilaian dari aspek teknikal, ia boleh digunakan untuk aksi final, Selasa ini.
Biarpun keadaan padang baharu Stadium Nasional tidak begitu memuaskan sewaktu perlawanan pertama Pestabola Merdeka pada Jumaat lalu, FAM yakin dan percaya bahawa Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) serta pihak konsultan teknikal dan kontraktornya mampu untuk membaikpulih keadaan rumput tersebut menjelang Selasa ini.
Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin bersama Pengerusi PSM, Dato’ Hans Isaac turut disertai oleh Ahli Lembaga Pengarah PSM, Datuk Seri Windsor John, Pengerusi LOC Pestabola Merdeka 2023 yang juga Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed dan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon pada tengah hari tadi telah melakukan pemeriksaan bagi melihat sendiri keadaan terkini padang Stadium Nasional.
Malah Pan-gon sendiri dari segi teknikal melihat bahawa padang tersebut boleh dimainkan dan berasakan adalah lebih baik aksi final kekal di Stadium Nasional supaya tidak mengganggu fokus dan persiapan pasukannya.
“FAM cukup berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh serta PSM yang mana pihak mereka sudah berusaha keras dan sedaya upaya dalam menjayakan projek penukaran rumput baharu di Stadium Nasional ini dan memastikan ia dapat digunakan pada Pestabola Merdeka 2023 ini.
“Mungkin atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan terutama dari segi tempoh masa, keadaan padang baharu ini tidak cukup sempurna seperti yang semua harapkan untuk diguna pakai pada Pestabola Merdeka 2023 ini, namun ia masih tetap lebih baik berbanding rumput cow grass yang digunakan sebelum ini,” dipetik dari kenyataan rasmi badan itu.
Tambah FAM, dengan mengambil kira bahawa Stadium Nasional ini merupakan ‘Home of Harimau Malaya’ dan jumlah penjualan tiket aksi final yang sudah melebihi 10,000 penonton setakat ini, tiada venue lain di sekitar Lembah Klang yang mampu untuk menampung kapasiti tersebut kecuali Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malah jika dipindahkan aksi final ke Stadium Sultan Ibrahim di Johor atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu, ia akan menimbulkan lebih masalah dan kesulitan kepada para penyokong setia Harimau Malaya yang telah pun membeli tiket-tiket tersebut kerana majoriti mereka berada di Lembah Klang.
Justeru, dengan mengambil keputusan untuk kekal bermain di Stadium Nasional ini, FAM akan terus bekerjasama rapat dengan PSM di sepanjang tempoh beberapa hari menjelang Selasa ini bagi memastikan tahap atau keadaan padang Stadium Nasional dapat diminimumkan kerosakannya demi memastikan aksi final dapat berjalan dengan lancar.