Ketua jurulatih India, Igor Stimac meluahkan kekecewaan selepas tidak mendapat layanan yang baik apabila pasukannya hadir sebagai pasukan pelawat dalam kejohanan Pestabola Merdeka edisi kali ini.

Baca Juga:

Pada sidang media selepas perlawanan, Igor mendedahkan beberapa masalah yang terpaksa dihadapi sepanjang berada di Malaysia terutamanya ketika membuat persiapan untuk turun menentang Malaysia pada aksi pertama.

Antara keluhan jurulatih dari Croatia itu adalah mengenai padang latihan yang disediakan untuk skuad India berlatih yang kurang memuaskan.

“Saya perlu beritahu kamu, saya cemburu atas apa yang kamu berikan kepada jurulatih kamu (Kim Pan-gon). Dia ada masa yang cukup untuk menjalani latihan.

“Kami pula hanya beberapa sesi latihan di atas padang yang becak. Dua pemain kami mengalami kecederaan kerana berlatih di atas padang yang kurang baik.

“Kamu mempunyai stadium yang cantik, fasiliti yang baik, tetapi padang yang teruk. Tiada padang yang bagus untuk pasukan pelawat. Anda perlu menjaga perkara ini kerana anda mampu, selain banyak melabur dalam bola sepak.

“Bagus sekiranya ada padang latihan yang baik untuk pasukan pelawat, terutamanya pasukan yang menyertai kejohanan besar seperti ini.

“Kami menempuh perjalanan selama sejam setengah hanya untuk ke padang latihan. Kami juga terpaksa bertukar-tukar padang setiap hari. Sehari sebelum perlawanan kami terpaksa menunggu selama sejam setengah di hotel untuk bas mengambil kami.

“Perkara kecil seperti ini menjengkelkan dan ia tidak sepatutnya berlaku untuk kejohanan besar seperti ini,” kata Igor Stimac.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Malaysia berjaya mencatat kemenangan 4-2 ke atas India hasil jaringan daripada Dion Cools, Arif Aiman, Faisal Halim dan Corbin-Ong sekaligus menempah tiket ke perlawanan akhir untuk bertemu Tajikistan pada Selasa ini bagi merebut trofi Pestabola Merdeka 2023.