Malaysia melangkah ke final Pestabola Merdeka 2023 selepas menundukkan India 4-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Baca Juga:

Beraksi dihadapan 46,150 penyokong jelas meningkatkan moral barisan pemain negara untuk mempamerkan aksi penuh bertenaga terutamanya pada babak pertama.

India yang berada di ranking ke-102 dunia bagaimanapun terlebih dahulu mengancam kubu skuad negara menerusi percubaan Mahesh Singh Naorem.

Namun, rembatan ‘first timer’ padu daripada Mahesh dalam kawasan penalti seawal minit kedua itu menggegarkan palang gol ketika penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi hanya mampu melihat percubaan tersebut.

Barisan pemain negara kemudiannya tampil lebih kemas dan ia nyata membuahkan hasil dengan gol pembukaan pada minit ketujuh dihasilkan oleh Dion Cools.

Jaringan tersebut berpunca daripada tandukan Nooa Laine ketika situasi sepakan penjuru mencari Cools yang kemudiannya tidak disia-siakan pemain pertahanan tersebut untuk meletakkan skuad negara dihadapan.

Kelebihan itu dipadamkan anak buah Igor Stimac pada minit ke-13 apabila percubaan ‘first timer’ Mahesh gagal diselamatkan Ahmad Syihan setelah beliau menerima umpanan baik daripada Sahal Abdul Samad.

Tujuh minit kemudian skuad negara kembali menceriakan penyokong Harimau Malaysa setelah Arif Aiman Mohd Hanapi menyempurnakan sepakan penalti.

Sepakan tersebut dihadiahkan pengadil perlawanan, Mongkolchai Pechhri dari Thailand selepas Nikhil Chandrashekhar Poojary mengasari Darren Lok dalam kawasan penalti.

Jaringan kedua itu jelas menyemarakkan semangat juang skuad kendalian Kim Pan-gon tersebut untuk menambah jaringan.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Dua peluang keemasan dimiliki dengan percubaan Darren Lok hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pada minit ke-23 manakala hantaran Arif Aiman kepada Faisal Halim pula sedikit jauh ketika pintu gol lawan sudah pun terbuka luas.

Kehampaan tersebut ditebus Faisal pada minit ke-42 apabila hantaran Arif Aiman memberikan ruang buat anak kelahiran Pulau Pinang itu meluru ke gawang India yang disudahkan dengan baik untuk gol ketiga buat Malaysia.

Ketika pemain negara kian bernafsu untuk memburu gol pada permulaan babak kedua, mereka tersentak pada minit ke-51 apabila Sunil Chhetri mudah menolak masuk bola selepas menerima lorongan Lallianzuala Chhangte.

India hampir menyamakan kedudukan berselang lima minit kemudian selepas rembatan Chhangte dilihat telah berjaya menewaskan Ahmad Syihan.

Bagaimanapun, Pechhri bersama pembantunya mengatakan bahawa bola masih belum sepenuhnya melepasi garisan gol Malaysia. Satu keadaan yang jelas membuatkan barisan pemain India berang dengan keputusan tersebut.

Memasuki minit ke-61, skuad negara meredakan tekanan yang dijelmakan India dengan jaringan keempat hasil sumbangan La’vere Corbin-Ong.

Jaringan itu terhasil selepas Corbin tidak berdepan masalah untuk menewaskan Gurpreet Singh Sandhu setelah beliau menerima hantaran ‘cutback’ daripada Faisal Halim.

India yang nyata menyandarkan harapan kepada kelincahan pemain sayap kiri dan kanan untuk mengancam kubu negara hampir mendapatkan gol ketiga.

Bagaimanapun, rembatan padu Chhangte dalam kawasan penalti sekadar singgah di palang gol manakala Sahal pula kecewa selepas situasi ‘satu lawan satu’ dengan penjaga gol dinafikan cukup baik oleh Ahmad Syihan.

Kelebihan dua gol itu dipertahankan oleh Matthew Davies dan rakan sepasukannya dengan cukup baik sekali gus mengesahkan tempat ke perlawanan akhir untuk berdepan Tajikistan.