Ketua jurulatih Tajikistan, Petar Šegrt memuji prestasi yang ditampilkan oleh Malaysia sejak dua tahun kebelakangan ini menjelang perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 antara kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini.

Menurut Petar, Malaysia menampilkan peningkatan yang signifikan di peringkat antarabangsa dan beliau mempunyai pandangan sendiri mengenai perkara ini.

“Malaysia meningkat naik sejak dua tahun kebelakangan ini dan ada sebab disebalik kejayaan ini. Pertama ialah ketua jurulatih (Kim Pan-gon), sokongan dari badan bola sepak negara anda (FAM) dan anda banyak melabur dalam bola sepak.

“Anda sudah bermain dalam 22 perlawanan antarabangsa atau lebih sebelum ini. Manakala saya hanya akan beraksi 16 perlawanan, dan 15 daripadanya kami beraksi di luar negara. Hanya satu perlawanan di tempat sendiri ketika menentang Russia.

“Malaysia banyak melabur dalam bola sepak dan itu adalah sebab mengapa anda berjaya,” kata Petar Šegrt ketika sidang media sebelum perlawanan.

Jurulatih dari Croatia itu turut melaungkan keyakinan bahawa pasukannya akan memberikan cabaran hebat terhadap skuad Harimau Malaya sekaligus membawa pulang trofi Pestabola Merdeka tahun ini.

“Esok malam bukan semua kerana wang. Percayalah, kami akan masuk ke padang dan kemudiannya membawa pulang trofi ke negara kami.

“Kami tidak akan memberi laluan mudah kepada Malaysia. Kami akan melawan. Mungkin kami bukan pasukan terkuat pada perlawanan esok. Tapi dalam 90 minit, kami akan berjuang untuk trofi ini. Saya bekerja di Indonesia selama tiga tahun. Saya tahu makna Pestabola Merdeka untuk rakyat Malaysia,” tambahnya.

Petar turut berkongsi dimana pasukannya membawa majoriti pemain muda untuk beraksi di Malaysia kali ini dimana purata umur pasukannya ialah 21 tahun.

Salah satu kelab terbesar negara itu, FC Istiklol tidak melepaskan seramai 15 pemain yang merupakan pemain utama dalam skuad kebangsaan Tajikistan dan perkara ini nyata memberi kesan kepada pasukannya.