Johor Tigris mengambil sepenuhnya kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila mara ke separuh akhir STL Champions Cup 2023 selepas berjaya menundukkan Terengganu Turtles pada aksi kedua kumpulan A yang berlangsung malam tadi.
Baca Juga:
- Pembantu Pengadil Rungkaikan ‘Misteri’ Kontroversi Final STL Challenge Cup 2023
- STL 2023: Atasi KPT-MASUM, Perak Bison Sahkan Kejuaraan
- STL 2023: Perak Bison Semakin Hampiri Kejuaraan
Mendapat sokongan padu para peminat yang memenuhi Iskandar Malaysia Studios, Johor Tigris bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mudah menewaskan juara divisyen 1 itu.
Tekong kelahiran Thailand, Rattadech Noijaroen jelas mencuri tumpuan pada perlawanan ini apabila servisnya cukup berbisa dan begitu sukar diangkat pemain Terengganu Turtles terutamanya pada set kedua dan ketiga.
Tuan rumah yang turut dibarisi Syahmi Syazwan (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) bagaimanapun tersentak pada set pertama setelah trio Terengganu Turtles diketuai Zulkifli Abdul Razak (tekong), Sutthikiart Pansaenkaew (perejam) serta Muqlis Borhan (pengumpan) mempamerkan aksi cukup bertenaga untuk menang mudah 21-9.
Enggan mengecewakan para peminat serta menyukarkan peluang mara ke separuh akhir, Johor dilihat cukup berbeza pada set kedua apatah lagi dengan kemasukan perejam muda, Haziq Norali.
Haziq yang sebelum ini beraksi bersama KPT-MASUM Knights dilihat cukup selesa dan bijak dalam melakukan rejaman di samping servis padu daripada Rattadech bagi membantu Johor Tigris menang 21-10 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.
Momentum baik itu diteruskan pada set tersebut sehingga membolehkan Johor Tigris mengesahkan kemenangan juga dengan mata 21-10.
Johor Tigris akan melangkah ke separuh akhir selaku juara kumpulan A sekiranya berjaya menundukkan Perak Bison pada aksi terakhir yang dijadualkan berlangsung pada 8.00 malam ini.