Perak Bison berjaya melangkah ke final STL Champions Cup 2023 selepas menundukkan Penang Black Panthers pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Iskandar Malaysia Studios, Johor sebentar tadi.

Kejayaan itu juga sekali gus memberikan ruang buat Perak Bison untuk mengejar gelaran berganda selepas mereka memenangi saingan liga tempoh hari.

Malah, ia juga menebus kekalahan skuad tersebut ke atas Penang Black Panthers pada aksi final Challenge Cup yang diadakan sehari selepas kempen liga berakhir.

Percaturan ketua jurulatih Perak Bison, Suhairi Aziz dengan membuat pertukaran bagi Meor Zulfikar Mat Amin (tekong), Yodsanon Laemthaisong (perejam) dan Aidil Aiman Azwawi (pengumpan) pada awal permainan jelas membuahkan hasil.

Meskipun pada mulanya Yodsanon dilihat sedikit bergelut untuk menghadiahkan mata buat pasukan, beliau kemudiannya tampil lebih baik sehingga menjadi nadi kepada kejayaan Perak Bison memenangi set pertama.

Beliau melakukan hadangan baik untuk menyelamatkan rejaman Aekasit Naphom dan kemudiannya menghadiahkan mata kemenangan 22-20.

Melihat Perak yang mendapat keyakinan hasil kemenangan set pertama, Penang Black Panthers meningkatkan corak permainan dan berupaya mendahului 9-4. Perak Bison bagaimanapun tidak mudah mengalah untuk kembali bangkit mengejar kedudukan 9-9.

Namun, Penang Black Panthers yang turut diperkuatkan Zarif Merican selaku tekong dan pengumpan, Zaim Razali lebih tenang untuk memenangi perlawanan 21-17 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Keputusan Suhairi memasukkan Jakritt Thinbangbon dan Noraizat Nordin nyata amat tepat dilakukannya kerana trio Perak Bison itu dilihat cukup bersedia untuk menghadapi set ketiga.

Selepas terikat 7-7, Perak Bison jelas sukar digugat ketika mendahului 13-9 dan ia menjadi tonik berguna buat mereka untuk terus meninggalkan jauh lawan tersebut.

Kesempatan itu diambil Perak Bison untuk mengesahkan kemenangan bagi mara ke final dengan mata 21-12.

Menanti mereka di final STL Champions Cup 2023 adalah pemenang antara Johor Tigris dan Negeri Sembilan Anthers yang akan beraksi jam 8.00 malam ini.