Perak Bison mengambil kesempatan ketiadaan tonggak utama skuad Kuala Lumpur (KL) Thunder untuk meraih kemenangan ‘straight set’ pada aksi Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2023 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.

KL Thunder yang merupakan pendahulu liga jelas berada dalam tekanan pada dua minggu terakhir ini apabila pemain bintang, Syahir Rosdi, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Amirul Zazwan Amir masih berada di Thailand untuk Kejohanan Piala Raja Thai 2023.

Meskipun trio pemain utama Perak (Meor Zulfikar, Noraizat Nordin dan Aidil Aiman) turut ke Thailand, tetapi Jakkrit Tinbangbon menyalurkan aura positif kepada pengganti mereka iaitu Madzrul Aziq Mat Tahir (perejam) dan Muhammad Asyraf Abdul Hadi.

Perak Bison yang mahu memberikan tekanan buat lawan dalam mengejar kedudukan tangga teratas bermula dengan cukup baik apabila mendahului lawan dengan mata 10-3.

Meskipun selepas itu trio KL Thunder yang terdiri daripada Aizat Mohd Norazmi (tekong), Laosak Kuram (perejam) dan Wan Nor Hanif cuba bangkit melawan tetapi ia tidak mengganggu rentak Perak Bison untuk menang 21-13.

Skrip yang hampir sama dapat disaksikan pada set kedua apabila Perak Bison meninggalkan jauh lawan mereka dengan kedudukan 7-1 dan kemudiannya KL Thunder bangkit memberikan saingan.

Tersentak daripada lamunan itu, Perak Bison kemudiannya memperkemaskan aksi serta dibantu kesilapan pemain lawan untuk mengesahkan kemenangan dengan keputusan 21-15.

Dengan kemenangan tersebut, Perak melonjak ke tangga teratas meskipun terikat 24 mata dengan KL Thunder.