Perak Bison meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2023 apabila berjaya menundukkan Penang Black Panthers di Stadium MABA, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemenangan bergaya 23-21, 21-11 dalam tempoh masa satu jam tiga minit itu melonjakkan kedudukan mereka di tempat kedua selepas mengumpul 12 mata.

Kedudukan itu bagaimanapun akan berubah sekiranya pasukan tangga ketiga, ATM Guardians berjaya menundukkan Sabah Mountaineers yang akan beraksi malam nanti.

Pertembungan sengit disaksikan terutamanya pada set pertama nyata sudah dijangka kerana kedua-dua pasukan dibarisi pemain kebangsaan serta import dari Thailand.

Perak dibarisi Jakkrit Thinbangon selaku tekong, manakala Muhammad Noraizat Nordin pula bertindak sebagai perejam (killer) dan Aidil Aiman Azwawi di posisi pengumpan (feeder).

Sementara itu, Penang Black Panthers pula mempertaruhkan Muhammad Zarif Merican Ibrahim Merican (tekong), Azlan Alias (killer) dan Mongkhon Patthawong (feeder).

Lebih menarik, Jakkrit dan Mongkhon saling mengenali kerana mereka beraksi bersama dalam pasukan Amnatcharoen yang merupakan naib juara Liga Thailand pada musim lalu.

Perak Bison mempamerkan kebangkitan pada set pertama apabila memadam kelebihan 15-11 dimiliki pasukan lawan untuk mengikat kembali kedudukan kepada 16-16.

Keadaan genting itu turut mengheret perlawanan ke mata ‘deuce’ yang akhirnya kemenangan menjadi milik Perak Bison dengan 23-21.

Kemenangan set pertama itu jelas menyemarakkan lagi semangat juang pemain Perak Bison untuk tampil dengan lebih baik pada set kedua.

Selepas terikat 5-5, trio Perak Bison itu tidak menoleh ke belakang untuk menjarakkan mata demi mata susulan prestasi semakin mantap dipamerkan Jakkrit, Noraizat dan Aidil.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya mereka untuk mengesahkan kemenangan 21-11 untuk menghadiahkan kemenangan keenam buat pasukan tersebut selepas mengharungi lapan perlawanan.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Perak Bison akan bertemu Bomba Fighters pada Ahad ini manakala Penang Black Panthers akan berhadapan Kuala Lumpur Thunder (Sabtu) dan Johor Tigris (Ahad).