Hajat untuk melihat trio Malaysia mengejutkan Thailand tidak kesampaian dalam acara Regu Piala Raja Thai 2023 apabila mereka tunduk pada aksi final yang berlangsung di Terminal 21 Korat, Thailand sebentar tadi.
Baca Juga:
- Sepak Takraw: Shahalril Aiman Perkuat Negara Ke Piala Raja Thai 2023
- STL 2023: KL Thunder Masih Tiada Tandingan, Atasi Negeri Sembilan Antlers
- STL 2023: Perak Bison Cemerlang Atasi Penang Black Panthers
Menyandarkan harapan buat Syahir Rosdi selaku tekong, Khairol Zaman Hamir Akhbar (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan), trio negara bagaimanapun memberikan saingan sengit sebelum tunduk dengan ‘straight set.
Ia jelas dibuktikan apabila mereka tidak membenarkan lawan yang dibarisi Pornthep Tinbangbon (tekong), Pattrapong Yupadee (pengumpan) dan perejam, Varayut Jantarasena menjarakkan mata dengan jauh sepanjang perlawanan.
Dengan jarak mata yang begitu rapat, regu Malaysia turut berpeluang bagi menamatkan set pertama terlebih dahulu dengan kelebihan 20-18.
Pornthep yang sebelum itu kelihatan sedikit goyah juga telah digantikan dengan tekong legenda, Siriwat Sakha.
Namun, pemain Thailand jelas tidak tertekan dengan keadaan tersebut untuk bangkit sekali gus memenangi set dengan 22-20.
Set kedua turut memperlihatkan aksi kejar mengejar mata ditampilkan kedua-dua trio dalam usaha memberikan kelebihan selesa.
Selepas memiliki kelebihan 15-14 pada lewat aksi, Thailand terus mendominasi aksi terutamanya menerusi servis tajam daripada Pornthep serta libasan bertenaga Varayut untuk memastikan kejuaraan milik mereka dengan kemenangan 21-17.
Perjuangan skuad negara dalam saingan Piala Raja Thai 2023 bakal diteruskan esok dimana acara berpasukan akan bermula dan sudah pastinya keputusan lebih baik diharapkan dapat dilakar oleh barisan pemain Malaysia.
Selain trio ini, Malaysia akan turut dibarisi oleh Meor Zulfikar, Noraizat Nordin, Aidil Aiman, Azlan Alias, Zarif Marican, Shaharil Aiman, Muqlis Borhan dan Hairul Hazizi.