Misi untuk mengelakkan pertemuan menentang Thailand di separuh akhir bagi acara sepak takraw berpasukan dalam temasya Sukan Asia (Asian Games) 2022 berjaya direalisasikan pemain Malaysia.
Baca Juga:
- Asian Games 2022: Skuad Sepak Takraw Malaysia Bangkit Tewaskan Indonesia
- Sepak Takraw Guna Sistem 15 Mata Mulai Tahun 2024
- Sepak Takraw: Shahalril Aiman Perkuat Negara Ke Piala Raja Thai 2023
Ia berikutan kejayaan anak buah Ahmad Jais Baharun itu mendahului Korea Selatan 2-0 pada aksi kedua kumpulan B yang sedang berlangsung pada ketika ini.
Langkah Jais meletakkan Mohd Haziq Hairul Nizam (tekong), Nuraizat Nordin (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) selaku regu pertama nyata membuahkan hasil.
Trio tersebut dilihat tidak berdepan masalah untuk menundukkan Lee Jaeseong (tekong), Jeong Hasung (perejam) dan Kim Youngcheol (pengumpan) dengan keputusan 21-15, 21-11.
Perjalanan lebih sukar dihadapi gandingan Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) yang berhempas-pulas ketika berdepan Lim Taegyun (tekong), Seonwoo Youngsu (perejam) dan Kim Jungman selaku pengumpan.
Ia jelas dibuktikan apabila trio negara itu tewas 17-21 pada set pertama dan kemudiannya terpaksa bergelut untuk menang 21-18 bagi mengheret aksi ke set penentuan.
Aksi penuh dramatik dapat disaksikan pada set ketiga kerana skuad Malaysia ketinggalan 7-14 pada satu ketika, namun Syahir, Amirul dan Azlan mempamerkan kebangkitan hebat untuk menang 21-19.
Tanpa mengambil kira keputusan melibatkan regu ketiga yang sedang beraksi, skuad negara sudah mengesahkan tempat selaku juara kumpulan.
Keadaan itu membolehkan Malaysia untuk mengelakkan pasukan pilihan, Thailand dan akan bertemu Laos di separuh akhir, esok. Manakala, Korea Selatan pula akan membuat perhitungan dengan Thailand.