Korea Selatan meneruskan rentak cemerlang dalam acara badminton berpasukan lelaki Sukan Asia (Asian Games) 2022 di Hangzhou selepas mara ke separuh akhir.
Baca Juga:
- Asian Games 2022: Skuad Berpasukan Malaysia Tersingkir Awal
- Asian Games 2022: Shah Firdaus Sahrom Raih Gangsa Kedua
- Asian Games 2022: Thailand Terlalu Unggul Buat Malaysia
Selepas mengecewakan Malaysia di pusingan 16 semalam, Indonesia menjadi mangsa terbaharu buat Korea Selatan untuk mara penuh bergaya ke pusingan empat negara terbaik itu.
Menanti mereka di separuh akhir merupakan satu lagi pasukan yang tidak boleh dipandang sepi iaitu India.
Segalanya tampak di landasan yang tepat dan terbaik buat Indonesia apabila Anthony Sinisuka Ginting berjaya menundukkan Jeon Hyeok Jin 21-17, 21-15 dalam tempoh masa 39 minit.
Namun, kegembiraan itu terhenti dalam acara beregu pertama setelah Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae mempamerkan semangat juang tinggi untuk menewaskan pasangan nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Aksi yang berlanjutan hampir 1 jam 30 minit itu menyaksikan juara dunia itu menang 11-21, 24-22, 21-17 untuk kembali mengikat kedudukan.
Lee Yun Gyu terus mencipta sensasi apabila beliau sekali lagi cemerlang untuk mengejutkan pemain ranking kelima dunia, Jonatan Christie 21-15, 21-16.
Mata kemenangan Korea Selatan dihadiahkan oleh pasangan Kim Won Ho-Na Sung Seung yang kental bertahan untuk menewaskan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin sekali gus membawa mereka ke separuh akhir.
Satu lagi aksi separuh akhir Asian Games 2022 bakal menemukan China dan Jepun yang masing-masing menewaskan lawan masing-masing dengan keputusan 3-1. China menewaskan Chinese Taipei manakala Jepun pula mengecewakan Hong Kong.