Perak Bison berpeluang untuk menjulang dua piala pada malam ini apabila melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Challenge Cup 2023 selepas menundukkan pilihan juara, Kuala Lumpur Thunder di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Berdepan lawan yang dibarisi pemain utama skuad kebangsaan iaitu Syahir Rosdi (tekong), Khairol Zaman Hamir Akhbar (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan), Perak Bison dilihat cukup bersedia untuk menghadapi lawan sukar tersebut.

Malah, Perak Bison yang diperkuatkan Jakritt Thinbangbon (tekong), Noraizat Nordin (perejam) dan Aidil Aiman Azwawi mempamerkan corak permainan bertenaga.

Trio tersebut berupaya mendahului 13-11 pada set pertama tetapi KL Thunder menyerap tekanan dengan baik untuk meraih kemenangan dengan mata 21-18.

Tersentak dengan kekalahan itu, Perak Bison tampil lebih meyakinkan dalam usaha untuk memburu kemenangan sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Penang Black Panthers bakal nanti Perak Bison di final. Kredit foto: SepakTakraw League

Kemahuan itu jelas kelihatan sehingga membolehkan Perak Bison memenangi set kedua dengan lebih mudah 21-13.

Berbekalkan sokongan moral penyokong setia yang menggamatkan stadium, Perak Bison mendahului sejak kedudukan 3-2 dan terus tidak memandang ke belakang lagi bagi memastikan slot ke final menjadi milik anak buah Suhairi Abd Aziz itu.

Menanti Perak Bison di perlawanan akhir Challenge Cup 2023 yang berlangsung malam ini ialah Penang Black Panthers.

Pasukan tersebut turut terpaksa mengharungi aksi tiga set ke atas juara divisyen 1, PDRM 14-21, 21-16, 21-16.

Semalam, Perak Bison mengesahkan status muncul juara liga selepas berjaya menundukkan KPT-MASUM Knights 19-21, 21-16, 21-14.