Negeri Sembilan Antlers melakar sejarah apabila mara ke perlawanan akhir STL Champions Cup 2023 selepas berjaya menundukkan Johor Tigris pada aksi separuh akhir yang berlangsung sebentar tadi.

Baca Juga:

Lebih manis, kejayaan bermakna yang dilakarkan itu hadir dihadapan ratusan penyokong tuan rumah yang memenuhi segenap ruang di Iskandar Malaysia Studios, Johor.

Malah, ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut dicipta oleh Negeri Sembilan Antlers terhadap Johor Tigris pada musim ini.

Berdepan lawan yang diperkuatkan dengan kehadiran Rattadech Noijaroen (tekong), Syahmi Syazwan (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) langsung tidak membuatkan trio Haziq Hairul Nizam selalu tekong, Hafizul Hayazi Adnan (perejam) serta Mohd Syazreen Qamar Salehan (pengumpan) itu gentar.

Sebaliknya, Haziq Hairul Nizam cukup cemerlang dengan servis-servis menarik dilakukannya dan juga rejaman tajam daripada Hafizul Hayazi hingga membolehkan mereka menang set pertama 21-12.

Melihatkan kepada kelonggaran aksi Rattadech dan Syahmi, Johor Tigris memasukkan Mohd Haidhir Salleh dan Haziq Norali.

Kemasukan itu bagaimanapun tidak banyak membantu Johor Tigris yang akhirnya terpaksa menelan hakikat lawan mereka lebih bertenaga untuk memenangi perlawanan dengan
21-14.

Menanti Negeri Sembilan Antlers di final ialah Perak Bison yang terlebih dahulu mengesahkan tempat susulan kemenangan ke atas Penang Black Panthers.

Dengan kekalahan tersebut juga menyaksikan Johor Tigris akan berdepan Penang Black Panthers untuk penentuan tempat ketiga-keempat yang turut berlangsung esok.