Perejam utama skuad Perak Bison, Muhammad Noraizat Mohd Nordin menyifatkan semangat berpasukan yang cukup baik sesama pemain menjadi antara kunci kejayaan kelab tersebut muncul juara Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2023.
Baca Juga:
- Pembantu Pengadil Rungkaikan ‘Misteri’ Kontroversi Final STL Challenge Cup 2023
- STL 2023: Atasi KPT-MASUM, Perak Bison Sahkan Kejuaraan
- STL 2023: Perak Bison Cemerlang Atasi Penang Black Panthers
Perak Bison mengesahkan kejuaraan milik mereka buat kali kedua selepas berjaya mencatatkan kemenangan ke atas KPT-MASUM Knights pada perlawanan terakhir liga, minggu lalu.
Lebih manis untuk diperkatakan, Noraizat Nordin turut dipilih sebagai perejam terbaik kejohanan manakala ketua jurulatih, Suhairi Abd Aziz dipilih sebagai jurulatih terbaik.
Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Noraizat juga tidak menolak hakikat bahawa sokongan kuat diberikan rakan sepasukan serta pihak pengurus amat membantu.
“Saya sangat bersyukur diatas rezeki yang Allah berikan. Perasaan yang tak dapat diungkap dengan kata-kata,” ujar Noraizat ketika dihubungi wakil Vocket FC.
“Memang sangat gembira dan saya juga tidak menyangka Perak Bison boleh menjadi juara dan saya terpilih sebagai perejam terbaik.”
“Bagi saya kerja berpasukan yang sangat baik ada pada Perak Bison. Kami juga sentiasa ‘enjoy’ dalam permainan dan juga mendapat sistem sokongan yang cukup kuat sesama player dan pengurusan pasukan. Mungkin itulah kunci pada kejayaan kami semua,”
Selain muncul juara liga, Perak Bison turut bergelar naib juara Challenge Cup dan tumpuan pemain berusia 24 tahun itu serta rakan sepasukan akan beralih kepada Champions Cup 2023.
Saingan di Iskandar Malaysia Studios, Johor itu bakal berlangsung pada 30 Julai hingga 5 Ogos dimana Perak Bison telah diundi dalam kumpulan A bersama-sama ATM Guardians, Johor Tigris dan naib juara liga divisyen 1, Terengganu Turtles.