Penang Black Panthers tidak berdepan masalah untuk menduduki tempat ketiga STL Champions Cup 2023 selepas menundukkan Johor Tigris pada aksi yang berlangsung di Iskandar Malaysia Studios sebentar tadi.
Baca Juga:
- STL Champions Cup 2023: Negeri Sembilan Antlers Musnahkan Impian Final Johor Tigris
- STL Champions Cup 2023: Perak Bison Kecewakan Penang Black Panthers Untuk Ke Final
- STL Champions Cup 2023: Johor Tigris Mara Ke Separuh Akhir
Kejayaan itu sedikit sebanyak mengubati kekecewaan Penang yang gagal ke final ekoran kekalahan ditangan Perak Bison semalam.
Membariskan Zarif Marican Ibrahim Marican selaku tekong, Azlan Alias (perejam) dan Zaim Razali (pengumpan), juara Challenge Cup 2023 itu nyata kelihatan agak sukar digugat terutamanya pada set kedua.
Trio tersebut beraksi dengan baik sekali gus membuatkan barisan pemain Johor Tigris yang dibarisi Haidhir Salleh (tekong), Theerapat (perejam) dan Lutfil Hadi (pengumpan) berada dalam keadaan tertekan.
Selepas terikat 5-5 pada awal permainan, Penang Black Panthers kemudiannya jelas sukar digugat bersandarkan kepada servis kemas oleh Zarif serta rejaman padu Azlan.
Momentum positif itu diteruskan pada set kedua yang memperlihatkan cabaran lebih mudah buat mereka untuk mengesahkan kemenangan 21-8.
Dengan cabaran yang sudah pun berakhir, Penang Black Panthers menamatkan musim ini dengan menamatkan kempen liga di kedudukan ketiga, muncul juara Challenge Cup dan ketiga Champions Cup.
Manakala, Johor Tigris pula berpuas hati dengan kedudukan keempat dalam saingan liga dan Champions Cup.
Sementara itu, Perak Bison berpeluang untuk merangkul gelaran berganda apabila beraksi bertemu Negeri Sembilan Antlers pada aksi final yang berlangsung 10.00 malam ini.