Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam telah mengumumkan senarai akhir 14 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih futsal kebangsaan, Rakphol Sainetngam bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Fergana, Uzbekistan dari 7 hingga 11 Oktober 2023.

Daripada senarai awal 20 pemain yang dipanggil bagi kem latihan pusat bermula 11 September 2023, seramai 16 pemain telah dibawa bagi siri tiga perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Afghanistan, Chinese Taipei dan Thailand di Bangkok, Thailand dari 24 hingga 30 September 2023 sebelum senarai akhir 14 pemain ke Uzbekistan diumum, hari ini.

Mereka terdiri daripada 6 pemain JDT, 5 pemain Pahang Rangers dan 3 pemain Selangor Mac.

Dua pemain yang tidak terpilih dalam senarai akhir kali ini ialah Saiful Nizam dan Akmalrulnizam Idris daripada Pahang Rangers.

Bagi perlawanan kelayakan Kumpulan G itu nanti, Malaysia dijadual bertemu Iraq bagi perlawanan pertama pada Sabtu, 7 Oktober 2023 (6.00 petang waktu Malaysia).

Kemudian bertemu tuan rumah, Uzbekistan pada Isnin, 9 Oktober 2023 (9.00 malam waktu Malaysia) dan Kemboja pada Rabu, 11 Oktober 2023 (6.00 petang waktu Malaysia).

Sejumlah 16 pasukan iaitu 8 pasukan juara kumpulan saingan kelayakan (Kumpulan A-H), 7 pasukan tempat kedua terbaik serta tuan rumah, Thailand akan layak ke pusingan akhir Piala Asia Futsal 2024 di Thailand, 17 hingga 28 April 2024.

Sebagai rekod pencapaian di sepanjang 16 edisi sebelum ini, skuad futsal kebangsaan berjaya layak sebanyak 12 kali ke pusingan akhir.

“Dah lama kita tak layak ke pusingan akhir. Kali terakhir pada edisi 2018 di Taiwan. Jadi apa yang saya nampak, dengan set pemain yang ada kali ini serta corak latihan dan tunjuk ajar ketua jurulatih baharu, kita boleh layak.

“Walaupun Uzbekistan dan Iraq di ranking 25 dan 44 dunia, berbanding Malaysia di ranking 77, tak mustahil kita boleh mencipta kejutan. Tapi jangan pandang rendah Kemboja biarpun mereka di ranking 122.

“Semua pemain perlu tetapkan dalam fikiran yang kita mahu menang ketiga-tiga perlawanan ini dan layak ke pusingan akhir. Selain prestasi di atas gelanggang, jangan lupa solat dan berdoa supaya dipermudahkan segala urusan,” kata Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin kepada para pemain.