Malaysia terpaksa melupakan saingan Piala Asia Futsal 2024 selepas tewas kepada tuan rumah, Uzbekistan 3-4 pada perlawanan kelayakan kedua yang berlangsung di Kompleks Sukan Samo, Fergana sebentar tadi.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Asia Futsal 2024: Malaysia Tewas 1-2 Aksi Sulung Bertemu Iraq
- Piala Asia Futsal 2022: Jepun Calarkan Ego Iran, Raih Kejuaraan Kali Keempat
- Piala Asia Futsal 2022: Uzbekistan Belasah Thailand Untuk Raih Tempat Ketiga
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut dihadapi anak buah Rakphol Sainetngam dimana mereka tunduk 1-2 menentang Iraq tempoh hari.
Dua kekalahan yang nyata telah menutup terus impian untuk melihat skuad negara beraksi di pusingan akhir pada pertengahan April tahun hadapan di Bangkok, Thailand.
Lawan yang dihadapi pada perlawanan ini bagaimanapun bukanlah calang-calang pasukan kerana Uzbekistan sememangnya berkelas dunia.
Berada di ranking ke-25 dunia, Uzbekistan membariskan sembilan pemain yang menyaksiakn mereka layak ke pusingan 16 Piala Dunia 2021 di Lithuania.
Satu keadaan yang pastinya memberikan kesukaran kepada pemain negara untuk menampilkan permainan terbaik mereka.
Meskipun di atas kertas jelas memperlihatkan perbezaan antara kedua-dua pasukan, barisan pemain Malaysia bagaimanapun tidak memberikan laluan mudah kepada Uzbekistan.
Ia jelas dibuktikan apabila penjaga gol, Zainulzahin Sinuan dan barisan pemain cukup kental dalam menyerap tekanan berikutan taktikal dan teknikal pemain Uzbekistan yang cukup mantap ditampilkan terutamanya pada separuh masa pertama.
Zainulzahin cemerlang dalam menafikan deretan percubaan berbahaya dijelmakan manakala pemain-pemain seperti Awalluddin Mat Nawi, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan dan Saad Sani turut mencipta beberapa peluang terbaik buat skuad negara.
Tekanan pemain tuan rumah memuncak selepas Ilkhomjon Khamroev dilayangkan kad merah kerana mengasari Saad yang pantas mahu ke kawasan D Uzbekistan.
Kelebihan seorang pemain selama dua minit itu bagaimanapun gagal digunakan sepenuhnya pemain negara walaupun dapat menguji gawang yang dikawal Ravshan Elibaev.
Sebaik sahaja beraksi dengan lima pemain, Uzbekistan berjaya membuka tirai jaringan menerusi Ikhtiyor Ropiev pada minit ke-18.
Jaringan tersebut hadir selepas penjaring empat gol Piala Dunia 2021 itu mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang yang cukup kemas oleh Mashrab Adilov bagi memisahkan kedua-dua pasukan di babak pertama.
Kurang konsentrasi pemain negara dihukum pada babak kedua membolehkan anak buah Bakhodir Akhmedov berjaya menambah tiga lagi jaringan untuk mengukuhkan kedudukan.
Ketika situasi bola di sebelah kanan pintu gol, Adilov melakukan hantaran lintang yang hanya mampu dipandang pemain negara dan mudah ditolak masuk Davron Choriev pada minit ke-27.
Berselang lima minit kemudian, kesilapan Saad gagal mengawal bola dengan baik dikawasan tengah membolehkan Khusniddin Nishonov merampas bola dan memberikan ruang buat Elbek Tulkinov melakukan percubaan jauh ketika Zainulzahin sudah jauh meninggalkan posisinya menjadikan kedudukan 3-0.
Taktikal ‘power play’ digunakan Rakphol membuahkan hasil selepas Syahir Iqbal merembat masuk bola selepas menerima lorongan Awalluddin untuk merapatkan jurang ketika aksi memasuki minit ke-33.
Choriev kembali memberikan kelebihan tiga gol pada minit ke-38 hasil jaringan menerusi gerak kaki menarik olehnya bagi menewaskan Zainulzahin ketika beliau tidak dikawal pemain negara.
Gol itu bagaimanapun masih belum merentap semangat juang pemain Malaysia untuk bangkit dimana mereka berhasil mendapatkan gol kedua menerusi Syahir Iqbal.
Syahir membuktikan usia 18 tahun bukan penghalang buatnya untuk membuktikan kemampuannya apabila beliau berjaya meledakkan hatrik juga pada minit ke-39.
Kedua-dua jaringan tersebut hadir menerusi taktikal ‘power play’ yang diterapkan oleh Rakphol.
Ketika Malaysia terus bernafsu untuk menyamakan kedudukan, siren dibunyikan untuk menamatkan aksi yang cukup menarik itu.
Kemenangan tipis itu meletakkan Uzbekistan di tangga teratas kumpulan G dengan enam mata manakala Malaysia di tempat ketiga tanpa sebarang mata.
Meskipun tewas, pujian nyata perlu diberikan kepada barisan pemain negara yang berjaya membuatkan Uzbekistan tertekan sepanjang perlawanan.
Banyak perkara positif yang dapat disaksikan meskipun skuad negara masih gagal memperoleh kemenangan kerana dua lawan yang ditemui berada di ranking lebih baik.
Aksi terakhir buat skuad negara adalah pertemuan dengan Kemboja pada Rabu ini jam 6 petang.