Indonesia terpaksa menelan kepahitan gagal mara ke pusingan akhir Piala Asia Futsal 2024 selepas tewas 2-3 bertemu Arab Saudi pada aksi kelayakan yang berlangsung di Damman awal pagi tadi.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Asia Futsal 2024: Malaysia Tamatkan Kempen Dengan Tundukkan Kemboja
- Kelayakan Piala Asia Futsal 2024: Uzbekistan ‘Tertekan’ Sebelum Atasi Malaysia
- Kelayakan Piala Asia Futsal 2024: Malaysia Tewas 1-2 Aksi Sulung Bertemu Iraq
Aksi ketiga peringkat kumpulan yang merupakan penentu hidup atau mati buat kedua-dua pasukan itu berlangsung dengan cukup mendebarkan sepanjang perlawanan.
Permainan di babak pertama memperlihatkan tuan rumah menggunakan kelebihan fizikal meskipun berdepan lawan yang berada di ranking lebih baik.
Penyokong Arab Saudi melonjak kegembiraan pada minit ke-15 selepas rembatan padu kaki kiri Fares Fahad Almaleh susulan situasi sepakan penjuru berjaya menewaskan penjaga gol Indonesia, Ahmad Habibie.
Jaringan pembukaan itu jelas meningkatkan moral anak buah Andreu Plaza untuk menambah jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil berselang seminit kemudian.
Berpunca daripada satu serangan pantas dilakukan Arab Saudi disempurnakan dengan cukup baik oleh Farhan Ali Al Asmari menjadikan kedudukan 2-0.
Tidak cukup dengan itu, Nawaf Al Mubarak menambah gol ketiga pada minit ke-18 menerusi satu rembatan padu yang tidak mampu diselamatkan Habibie.
Memasuki babak kedua, Indonesia berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-24 selepas Ardiansyah Runtuboy melakukan sepakan leret yang membolosi gawang Arab Saudi setelah menerima lorongan hasil sepakan penjuru daripada Ardiansyah Nur.
Firman Adriansyah memberikan harapan buat skuad Indonesia ketika permainan memasuki minit ke-33 selepas beliau melakukan percubaan jarak dekat yang memberikan jaringan kedua hasil taktikal ‘power play’.
Namun dalam keghairahan Indonesia untuk mendapatkan jaringan penyamaan, Samuel Eko diperintahkan keluar gelanggang setelah menerima kad kuning kedua ekoran kekasaran terhadap pemain lawan.
Dua minit kekurangan pemain menyaksikan anak buah Marcos Sorato yang tidak dapat berada di tepi gelanggang kerana kad merah diterima pada aksi kedua tempoh hari terpaksa bertahan.
Barisan pemain Arab Saudi jelas cukup berdisiplin dan tenang menyerap tekanan sekali gus memastikan slot kedua daripada kumpulan B untuk beraksi di Bangkok pada April tahun hadapan menjadi milik mereka.
Dalam satu lagi aksi kumpulan tersebut, Afghanistan menggungguli tangga teratas selepas membelasah Macau 18-2.