Indonesia mempamerkan kekentalan tahap tertinggi apabila berjaya mengikat pasukan gergasi, Thailand 2-2 pada aksi Kejuaraan Futsal AFF 2022 yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa aksi ketiga saingan kumpulan A melibatkan kedua-dua pasukan ini seperti pentas final dimana corak permainan pantas disajikan sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan pengadil dari Bahrain, Osama Saeed Idrees.
Malah, Indonesia mengejutkan penyokong tuan rumah seawal minit pertama selepas kuisan dilakukan Holypaul Septinus Soumilena terlucut daripada dakapan penjaga gol, Katawut Hankampa untuk meletakkan skuad kendalian Mohammad Hashemzadeh itu di hadapan.
Thailand yang memperkemaskan aksi selepas tersentak dengan jaringan tersebut memiliki peluang keemasan tetapi penjaga gol Indonesia, Muhammad Albagir begitu tangkas dalam menafikan deretan percubaan yang dilancarkan.
Ketika Thailand bernafsu memburu jaringan, Indonesia sekali lagi membuatkan kem Thailand tergamam apabila rembatan sepakan percuma Ardiansyah Nur berjaya melepasi benteng dibina untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Ketinggalan dengan dua gol membuatkan barisan pemain Thailand terus memberikan tekanan ke kubu Indonesia dan peledak berbisa, Muhammad Osamanmusa pantas melakukan tolakan selepas percubaan awal Sarawut Phalaphruek ditepis Albagir pada minit ke-11 bagi merapatkan kedudukan.
Penjaga gol berusia 25 tahun itu jelas menjadi watak utama pada perlawanan ini apabila beliau bertindak cemerlang dalam menafikan deretan percubaan diledakkan barisan pemain Thailand.
Namun, kekentalan Albagir terhenti di minit ke-35 selepas Muhammad Osamanmusa bijak melakukan percubaan lambung yang kembali menyamakan kedudukan sekali gus menyelamatkan maruah skuad futsal Thailand daripada tewas pada perlawanan ini.
Keputusan seri itu menyaksikan Thailand kekal di tangga teratas dengan tujuh mata, berkongsi mata dengan Indonesia tetapi anak buah Carlos Cesar Nunez Gago itu memiliki kelebihan perbezaan jaringan.
Thailand akan berdepan Malaysia pada aksi terakhir esok manakala Indonesia pula bakal menghadapi cabaran Kemboja.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:
Futsal AFF 2022: Skuad Negara Kembali Bangkit, Belasah Brunei 10-0