Malaysia menamatkan pusingan kelayakan Piala Asia Futsal 2024 dengan kemenangan selepas berjaya menundukkan Kemboja 5-2 pada aksi terakhir yang berlangsung Kompleks Sukan Samo, Fergana sebentar tadi.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Asia Futsal 2024: Uzbekistan ‘Tertekan’ Sebelum Atasi Malaysia
- Kelayakan Piala Asia Futsal 2024: Malaysia Tewas 1-2 Aksi Sulung Bertemu Iraq
- Senarai 14 Pemain Yang Dipilih Hadapi Kelayakan Piala Asia Futsal 2024
Seperti diketahui, kemenangan itu tidak memberikan sebarang makna buat skuad negara yang gagal ke pusingan akhir selepas tewas pada dua aksi awal menentang Iraq dan Uzbekistan.
Anak buah Rakphol Sainetngam membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi pemain pivot, Awalluddin Mat Nawi.
Berpunca daripada kesilapan Kun Lundaroath yang cuba mencar rakan sepasukannya di kawasan sendiri memberikan ruang buat Awalluddin untuk mendapatkan bola lalu mudah menolak masuk gol pertama buat Malaysia.
Tidak sampai seminit, giliran Saad Sani pula menemui sentuhan jaringan selepas rembatannya di sebelah kanan mengelirukan penjaga gol lawan, Khek Chansombath.
Tersentak dengan dua jaringan pantas itu, Kemboja menggunakan taktikal ‘power play’ dan ia nyata membuatkan pemain negara sedikit tertekan.
Ia turut menjurus kepada jaringan dihasilkan oleh Keo Sochetra yang merembat masuk bola bagi menewaskan Zainulzahin Sinuan pada minit ke-16.
Malaysia kembali menjarakkan defisit jaringan berselang tiga minit kemudian menerusi sepakan percuma leret daripada Ekmal Shahrin yang terus menerjah gawang Kemboja.
Ekmal kemudiannya memberikan bantuan jaringan buat Saad untuk menjadikan kedudukan 4-1 juga pada minit ke-19.
Memasuki babak kedua, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan terus melebarkan kedudukan buat skuad negara pada minit ke-25 yang menyaksikan beliau mudah menyempurnakan peluang ketika hanya berhadapan dengan penjaga gol gantian, Kim Simeng.
Satu lagi usaha menerusi power play membuahkan hasil buat Kemboja yang mendapatkan jaringan kedua menerusi rembatan padu Keo Cheatuo ketika aksi memasuki minit ke-28.
Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk Malaysia menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga manakala Kemboja di tangga terakhir.
Dengan tamatnya saingan di Uzbekistan ini, skuad negara dilaporkan bakal menyertai Kejohanan Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia pada Februari serta Kejuaraan AFF dimana kedua-dua aksi dijangka berlangsung di Thailand.