Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mengingatkan kepada para pemain skuad futsal Malaysia supaya terus fokus dalam usaha memburu tiket ke Piala Asia Futsal 2024.

Baca Juga:

Beliau yang mengunjungi sesi latihan skuad futsal negara kendalian Rakphol Sainetngam itu turut mengakui tiada yang mustahil buat para pemain bagi mencipta kejutan sekiranya para mereka terus fokus.

Malaysia yang berada di ranking ke-80 dunia dilihat berdepan kesukaran setelah diundi bersama-sama Uzbekistan, Iraq dan Kemboja.

Uzbekistan yang merupakan tuan rumah dan turut akan menganjurkan Piala Dunia Futsal 2024 merupakan lawan paling sukar buat skuad negara.

Dengan status selaku pasukan yang beraksi di pentas Piala Dunia Futsal bagi tiga edisi berturut-turut (tidak termasuk edisi 2024 selaku tuan rumah) serta layak ke suku akhir pada 2021, Uzbekistan juga kini menghuni ranking ke-25 dunia.

Sementara itu, Iraq (ranking ke-45 dunia) yang berbekalkan kepada kekuatan fizikal para pemain mereka turut mampu untuk menghalang impian Malaysia untuk mara ke Piala Asia yang dijadulkan berlangsung di Bangkok, Thailand.

Sehubungan dengan itu, Hamidin menuntut komitmen tinggi para pemain untuk melakar kejutan.

“Pemain perlu ingat jika terus fokus, tidak mustahil untuk Malaysia mampu mencipta kejutan,” ujar Datuk Haji Hamidin menurut kenyataannya di laman Facebook rasmi FAM.

“Bukan itu sahaja, pemain juga dituntut untuk bermain dengan baik pada aksi persahabatan di Thailand nanti.”

“Bukan mudah untuk kita diberi penghormatan menyarungkan jersi kebangsaan, maka gunakan peluang itu sebaiknya dan harumkan nama negara,” tambah beliau lagi.

Sebelum berlepas ke Uzbekistan pada awal Oktober nanti, skuad futsal Malaysia akan menghadapi tiga perlawanan persahabatan di Bangkok menentang Thailand, Chinese Taipei dan Afghanistan.

Manakala aksi kelayakan Piala Asia Futsal 2023 di Samo Sports Complex, Fergana bakal menyaksikan Malaysia berdepan Iraq pada 7 Oktober, menghadapi Uzbekistan berselang dua hari kemudian dan Kemboja pada 11 Oktober 2023.