Peluang Malaysia untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia Futsal 2024 kelihatan semakin berliku selepas tunduk 1-2 kepada Iraq pada aksi pertama pusingan kelayakan sebentar tadi.

Beraksi di Kompleks Sukan Samo, Fergana Uzbekistan, skuad negara yang dibimbing Rakphol Sainetngam jelas menghadapi sedikit kesukaran untuk menyaingi saiz fizikal pemain lawan.

Turun dengan reputasi selaku pasukan yang meraih tempat keempat kejohanan edisi 2018 di Chinese Taipei itu jelas mengambil kesempatan berbekalkan kelebihan fizikal dimiliki.

Anak buah Ricardo Samara Cobral itu lebih menguasai permainan serta mengancam kubu skuad negara yang dikawal Zainulzahin Sinuan terutamanya pada babak pertama.

Zainulzahin menjadi antara pemain yang cukup sibuk di gawangnya dalam menafikan beberapa percubaan keemasan dimiliki Iraq.

Penjaga gol utama Pahang Rangers itu akhirnya bolos pada minit ke-10 selepas ‘placing’ cantik dilakukan oleh Ghaith Riyadh Arab setelah beliau melepasi kawalan Azri Rahman memberikan kelebihan buat Iraq.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Iraq menambah gol kedua berselang empat minit kemudian menerusi Salim Faisal Al Husaynat.

Jaringan tersebut berpunca daripada kesilapan Mahadir Harahap Khairuddin yang gagal mengawal bola dengan baik sehingga membolehkan Salim Faisal melakukan percubaan rendah untuk membolosi gawang skuad negara.

Malaysia yang bekerja keras mencari ruang untuk mengasak kubu lawan turut mendapat peluang terbaik tetapi percubaan Ridzwan Bakri dari jarak dekat berikutan kesilapan pemain Iraq hanya singgah di tiang gol.

Kemudiannya, percubaan Danial Dain dalam kawasan D selepas menerima umpanan cantik daripada Ekmal Shahrin di hadapan pintu gol Iraq juga diselamatkan penjaga gol, Zaher Mahdi Hadi.

Bagaikan mendapat tonik berguna daripada Rakphol di bilik persalinan pada waktu rehat, para pemain negara memperkemaskan aksi pada babak kedua.

Ia dibuktikan dengan beberapa percubaan dijelmakan menerusi Syahir Iqbal Khan Akbar Khan dan Danial yang memaksa Zaher Mahdi bekerja keras untuk menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Tidak mahu terus ditekan pemain Malaysia, Iraq kembali garang dengan dua percubaan berbahaya menerusi Mustafa Ihsan Al-Bayati dan Abbas Salih Bazooni tetapi Zainulzahin cemerlang di posisinya untuk menyelamatkan keadaan.

Ekmal Shahrin turut terlepas peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan buat skuad negara selepas beliau gagal menolak masuk hantaran lintang dilakukan Abu Haniffa Hassan.

Jaringan yang dinantikan kem negara akhirnya hadir pada minit ke-39 menerusi jaringan Awaluddin Mat Nawi yang membias terkena Salim Faisal ketika Malaysia menggunakan taktikal ‘power play’.

Namun, jaringan tunggal tersebut masih belum mampu untuk menghalang kemenangan Iraq pada perlawanan ini.

Lawan seterusnya yang bakal dihadapi skuad negara ialah bertemu tuan rumah, Uzbekistan pada Isnin nanti jam 9.00 malam waktu Malaysia.