Ibarat diberi peluang kedua, skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) sah layak ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar selepas mendapat slot terakhir tempat kedua terbaik kumpulan.

Selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi terakhir kumpulan H semalam, anak buah E. Elavarasan itu terpaksa menunggu keputusan perlawanan pasukan lain untuk mengetahui status kelayakan mereka.

Untuk menentukan kedudukan tempat kedua terbaik, kemenangan ke atas pasukan tercorot dalam kumpulan masing-masing tidak dikira selain melihat kepada perbezaan jaringan.

Dalam situasi ini, kemenangan 4-0 ke atas Filipina beberapa hari lalu banyak membantu memberi sedikit kelebihan kepada Malaysia.

Malaysia memiliki kelebihan dari segi jumlah gol untuk kekal berada di tangga keempat dari segi kedudukan tempat kedua terbaik kumpulan di belakang China, Kuwait dan Iran.

Bagaimanapun, kedudukan itu berubah selepas Australia mencatat keputusan seri 1-1 ke atas Bahrain ditambah pula kejayaan Kuwait mengikat Iraq 2-2 menyaksikan Iran naik mengatasi Malaysia di tangga keempat.

Kedudukan antara Iran dan Malaysia terikat kerana memiliki jumlah mata dan perbezaan gol yang sama iaitu +3 sekaligus membawa kepada penentuan rekod disiplin.

Namun, tuah memihak kepada Malaysia apabila mempunyai rekod disiplin yang lebih baik -4 mengatasi Iran iaitu -9. Ini adalah rekod pengumpulan kad kuning/merah daripada kedua-dua pasukan.

Ini adalah penampilan ketiga skuad Malaysia B-23 di pentas Piala Asia B-23. Kali pertama ialah pada edisi 2018 di China ketika dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Ketika itu, Malaysia mempunyai pencapaian yang cukup cemerlang apabila layak ke suku akhir sebelum tewas tipis 1-2 kepada Korea Selatan.