Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam telah mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatih B-23 kebangsaan, E. Elavarasan bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand.

Berdasarkan senarai tersebut, Elavarasan telah mengekalkan 13 daripada 23 pemain skuad Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada 17 hingga 26 Ogos lalu, antaranya termasuk beberapa muka baharu seperti M. Rakesh, Saiful Jamaluddin dan penjaring terbanyak kejohanan, Alif Ikmalrizal Anuar.

Sementara baki pemain lain terdiri daripada lapan pemain dari skuad Sukan SEA 2023 yang tidak berada dalam senarai ke Kejuaraan B-23 AFF 2023 iaitu Mukhairi Ajmal Mahadi, Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Khalili, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan, T. Saravanan, Haqimi Azim Rosli, dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Dua pemain berpangkalan di luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine turut akan menyertai pasukan.

Malaysia yang telah diundi dalam Kumpulan H akan memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2024 dengan perlawanan pertama menentang Bangladesh pada Rabu, 6 September 2023 (5.30 petang waktu Malaysia), Filipina pada Sabtu, 9 September 2023 (5.30 petang waktu Malaysia) dan tuan rumah, Thailand pada Selasa, 12 September 2023 (9.30 malam waktu Malaysia), dengan ketiga-tiga perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.

Seterusnya, 16 pasukan terdiri daripada 11 pasukan juara kumpulan dalam saingan kelayakan (Kumpulan A hingga K) bersama-sama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Qatar, tahun depan.

Skuad Harimau Malaya B-23 akan berlepas ke Chonburi, Thailand dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Isnin, 4 September 2023