Skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) mencatat kemenangan bergaya apabila berpesta gol membelasah Filipina 4-0 pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Chonburi.

Baca Juga:

Ketua jurulatih, E. Elavarasan menurunkan barisan terkuat pada perlawanan ini termasuk penampilan dua pemain yang berpengkalan dari luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine.

Pesta gol skuad negara bermula seawal 30 saat apabila pemain tengah Selangor, Mukhairi Ajmal menyudahkan hantaran cantik Fergus Tierney dari sebelah kanan.

Jaringan itu menyuntik semangat pemain untuk terus mengandakan asakan dan 5 minit kemudian, giliran T. Saravanan menjaringkan gol kedua hasil umpanan Luqman Hakim dari sebelah kiri.

Filipina cuba bangkit mencari jaringan penyamaan namun jentera serangan mereka kurang tajam dan tidak banyak menguji barisan pertahanan negara yang diketuai oleh Harith Haiqal.

Pada minit ke 23, Harith mencatat nama sebagai penjaring apabila merembat masuk gol ketiga dari luar kotak penalti yang mudah menewaskan penjaga gol Filipina, Dimitrios Macapagal.

Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama namun babak kedua menyaksikan Elavarasan membuat pertukaran pemain dengan mengeluarkan Mukhairi Ajmal dan Luqman Hakim digantikan kepada Najmuddin Akmal serta Aiman Afif.

Pada minit ke 61, Saravanan sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring selepas menambah gol keempat dalam situasi kelam kabut di kawasan kotak penalti.

Bagi mengelakkan kecederaan, Elavarasan juga terpaksa mengeluarkan pemain itu lalu digantikan dengan Alif Ikmalrizal.

Filipina mula bangkit melancarkan serangan namun penjaga gol negara, Azim Al Amin cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya.

Fergus Tierney juga nyaris menambah gol kelima namun palang menjadi penghalang. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan tersebut meletakkan Malaysia di tangga teratas kumpulan H setakat ini selepas mengutip 6 mata serta memiliki kelebihan dari segi perbezaan gol.

Selepas ini, skuad Harimau Muda berdepan tugas sukar apabila dijadualkan menentang tuan rumah, Thailand pada Selasa, 12 September 2023 (9.30 malam waktu Malaysia) di Stadium Chonburi.

Hanya juara kumpulan bersama-sama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik sahaja akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Qatar, tahun depan.