Skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan Bangladesh B-23, 2-0 pada aksi pertama Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Chonburi.
Baca Juga:
- Hilang Fokus Punca Skuad Malaysia B-23 Tewas Kepada Vietnam
- FAM Tak Jadi Hantar Skuad Malaysia B-23 Ke Sukan Asia
- Elavarasan Buat Persiapan Awal Latih Skuad Malaysia B-23
Bagaimanapun, kemenangan mereka tidak hadir dengan mudah kerana dipaksa bekerja keras selepas semua percubaan penyerang skuad negara yang diketuai oleh Alif Ikmalrizal gagal menemui sasaran.
Malaysia sepatutnya memperolehi dua gol di separuh masa pertama namun kedua-dua jaringan Alif Ikmalrizal dibatalkan oleh pengadil kerana didakwa mengasari lawan serta berada dalam kedudukan ‘offside’.
Malah, Bangladesh juga bertahan dengan baik sehingga memberi kesukaran kepada jentera tengah negara untuk mengaturkan serangan ke pintu gol.
Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama namun ia tidak mematahkan semangat skuad kendalian E. Elavarasan itu untuk terus memburu jaringan pertama.
Pertukaran taktikal di separuh masa kedua juga membuahkan hasil yang lumayan apabila rembatan jarak jauh Aliff Izwan dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol Bangladesh pada minit ke 81.
Kelayakan Piala Asia B-23 2024 | Malaysia vs Bangladesh
Gol!!!
82' Aliff Izwan 🇲🇾#AFCU23 pic.twitter.com/sm4reBDe8E— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) September 6, 2023
Jaringan itu turut memberikan semangat tambahan kepada pemain negara memburu gol kedua dan kali ini giliran pemain naturalisasi, Fergus Tierney untuk mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke 94.
Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus mengesahkan 3 mata penuh menjadi milik skuad negara.
Kelayakan Piala Asia B-23 2024 | Malaysia vs Bangladesh
Gol!!!
90+4' Fergus Tierney 🇲🇾#AFCU23 pic.twitter.com/NFD0bCeDlj— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) September 6, 2023
Selepas menentang Bangladesh, mereka dijadualkan bertemu Filipina pada Sabtu, 9 September 2023 (5.30 petang waktu Malaysia) dan tuan rumah, Thailand pada Selasa, 12 September 2023 (9.30 malam waktu Malaysia), dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.
16 pasukan terdiri daripada 11 pasukan juara kumpulan dalam saingan kelayakan (Kumpulan A hingga K) bersama-sama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Qatar, tahun depan.