Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (b-23) negara, E. Elavarasan mengakui masalah ketumpulan penyudah menjadi antara punca pasukannya tewas tipis 0-1 kepada Thailand pada aksi terakhir kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 semalam.

Malaysia amat memerlukan kemenangan bagi menempah tiket automatik ke Piala Asia B-23 selaku juara kumpulan namun ia tidak jadi kenyataan kerana mereka gagal bangkit daripada ketinggalan 0-1 menerusi tandukan Yotsakon Burapha pada minit ke-20.

Malah, jentera serangan yang dibarisi oleh Aliff Izwan dan Fergus Tierney telah mensia-sia beberapa peluang terhidang sehingga menyebabkan tiada sebarang gol diperolehi dalam tempoh 90 minit perlawanan.

“Kami sudah cuba yang terbaik tetapi kami tidak dapat menyamakan kedudukan. Perlawanan seperti ini cukup sengit dan kami tak sepatutnya melepaskan gol .

“Pemain sudah berusaha sehabis baik tetapi mereka gagal mencari gol. Saya rasa ada peningkatan dari segi serangan cuma kami masih tak dapat menyudahkan peluang terhidang,” kata Elavarasan dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi itu, E Elavarasan mengekalkan sebahagian besar kesebelasan utama ketika menewaskan Filipina 4-0 pada Sabtu lalu, dengan hanya membuat dua pertukaran apabila memulakan Sikh Izhan Nazrel di posisi penjaga gol dan menyenaraikan Aliff Izwan di bahagian sayap.

Kem negara hampir menggegar gawang tuan rumah menerusi rembatan Nooa Laine namun ia sedikit tersasar di minit kesembilan.

Selepas tamat perlawanan, anak buah E. Elavarasan itu terpaksa menunggu keputusan perlawanan pasukan lain untuk mengetahui status kelayakan mereka menerusi slot tempat kedua terbaik kumpulan.

Selain Thailand, dua lagi pasukan dari rantau Asia Tenggara sudah mengesahkan slot ke Piala Asia B-23 iailah Vietnam yang muncul juara Kumpulan C dan Indonesia juara Kumpulan K.