Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara berdepan misi penting apabila turun menentang Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Chonburi, Bangkok malam ini.
Baca Juga:
- Hilang Fokus Punca Skuad Malaysia B-23 Tewas Kepada Vietnam
- FAM Tak Jadi Hantar Skuad Malaysia B-23 Ke Sukan Asia
- Elavarasan Mahu Bentuk Skuad Malaysia B-23 Yang Mantap
Walaupun keputusan seri mungkin ada peluang beraksi di Piala Asia B-23 menerusi slot tempat kedua terbaik namun skuad Harimau Muda tetap memburu kemenangan sekaligus layak secara automatik selaku juara kumpulan.
Malaysia kini terikat 6 mata dengan pendahulu kumpulan, Thailand selepas menewaskan Bangladesh (2-0) dan Filipina (4-0).
“Ia keputusan (menang ke atas Filipina) cukup baik dan pertama sekali tahniah kepada rakan-rakan kerana beraksi baik. Selepas ini kita akan menentang Thailand.
“Perlawanan seterusnya sudah pasti kita perlu menang, kutip tiga mata dan mara ke pusingan akhir,” kata penyerang KL City, T.Saravanan.
Ketua jurulatih, E. Elavarasan dijangka menurunkan barisan terkuat termasuk dua pemain dari luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine.
Dengan slot juara kumpulan menjadi rebutan, kedua-dua pasukan perlu meraih kemenangan bagi memastikan mereka lolos secara automatik ke Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Qatar, tahun depan.
Pengurus pasukan, Datuk Seri Shahril Mokhtar mengakui skuad B-23 tidak boleh mengambil ‘risiko’ dengan mengharapkan slot selaku empat naib juara terbaik sebaliknya perlu mengesahkan tempat ke pusingan akhir dengan selesa selaku juara kumpulan.
“Kita sudah membuat perkiraan di mana walaupun kita seri, berkemungkinan besar kedua-dua pasukan akan pergi ke pusingan akhir tetapi kita mahu menjadi juara kumpulan,” katanya.
Sebagai rekod, hanya 16 pasukan terdiri daripada 11 juara kumpulan dan empat naib juara terbaik selain tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2024 yang berlangsung di Qatar, tahun depan.
Saingan Piala Asia B-23 ini memberikan slot untuk ke Sukan Olimpik 2024 bagi tiga pasukan terbaik sementara pasukan keempat terbaik akan mengharungi ‘play-off’ menentang pasukan dari Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF).