Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick mengakui skuad kendaliannya tidak akan berupaya untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23 sekiranya terus mempamerkan aksi seperti menentang Everton, tempoh hari.
Pertemuan dengan Everton yang berlangsung di Goodison Park itu menyaksikan United mempamerkan aksi hambar sehingga menyebabkan tuan rumah berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 sekali gus The Toffees berupaya menjauhi zon penyingkiran.
Keadaan itu juga menyebabkan Manchester United kini ketinggalan enam mata di belakang pasukan tangga keempat, Tottenham Hotspur yang mengumpul 57 mata.
Manchester United juga hanya mampu mencatatkan satu kemenangan, dua keputusan seri dan dua kekalahan daripada lima aksi terakhir kempen Liga Perdana Inggeris.
Perkembangan yang jelas semakin menyukarkan peluang The Red Devils untuk layak ke saingan paling berprestij di Eropah itu dimana perjuangan mereka pada musim ini hanya mampu bertahan hingga ke pusingan 16.
“Sekiranya kami bermain dengan corak permainan seperti yang kami tampilkan di sini [Goodison Park], kami tidak mampu untuk mendapatkannya [peluang beraksi di UCL 2022/23].”
“Para pemain sendiri juga perlu bersemangat tinggi untuk bermain di pertandingan antarabangsa, seperti Liga Juara-Juara Eropah,” ujar Rangnick menurut laporan Goal Indonesia.
“Untuk layak ke saingan Eropah, anda perlu mampu untuk menghasilkan jaringan pada minit ke-95 perlawanan, pada aksi seperti ini [bertemu Everton].”
“Segala rasa hormat buat Everton, tetapi jika pasukan anda gagal mencetak gol ketika bertemu pasukan yang bolos tiga gol di tangan Burnley [Everton tewas 2-3 menentang Burnley pada perlawanan sebelum ini], anda tidak boleh mengharapkan apa-apa.”
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Thailand Lantik Mano Polking Sebagai Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Sukan SEA