Zinedine Zidane berpendapat bahawa masalah dari segi perbezaan bahasa menjadi antara penyebab yang membuatkan beliau tidak mempertimbangkan untuk membimbing kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.
Membimbing Real Madrid dengan cukup baik sehingga berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bagi tiga musim berturut-turut, khidmat Zidane sudah pastinya menarik minat kelab-kelab ternama Eropah.
Manchester United juga tidak terkecuali apabila beberapa kali nama Zidane telah dikaitkan dimana kelab tersebut pada ketika ini telah mendatangkan pengendali dari Belanda, Erik ten Hag.
“Ketika saya masih lagi bergelar pemain, saya boleh memilih hampir kesemua kelab untuk diwakili,” ujar Zidane menurut laporan dikeluarkan Goal.
“Sebagai pengurus, tidak ada sampai 50 pasukan yang akan saya pilih. Mungkin akan hanya ada dua atau tiga pasukan sahaja.”
“Sekiranya saya kembali ke sebuah kelab, itu adalah untuk menjadi juara. Saya mengatakan perkara ini dengan rendah hati. Itulah sebabnya saya tidak boleh pergi ke mana-mana.”
“Untuk alasan lain juga, saya mungkin tidak boleh pergi kemana-mana. Yang mana satu? Misalnya, [aspek] bahasa. Keadaan tertentu membuatkan segalanya menjadi lebih sulit.”
“Ketika ramai yang bertanya kepada saya: ‘Apakah anda akan pergi ke Manchester?’ Saya memahami bahasa Inggeris tetapi saya tidak menguasai sepenuhnya bahasa tersebut.”
“Saya tahu bahawa ada pengurus yang pergi ke kelab tanpa menggunakan bahasa tempatan, namun saya bekerja secara berbeza. Untuk menjadi juara, banyak faktor yang memainkan peranan.”
“Ia adalah konteks global, saya tahu apa yang diperlukan untuk menjadi juara,” tambah Zinedine Zidane lagi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Ronaldinho Perkuatkan RANS Nusantara Hadapi Kejohanan 3 Penjuru
Malaysia Antara 4 Pasukan Terbaik Dunia Alami Kenaikan Mendadak Dalam Ranking FIFA