Thailand dan Vietnam mengulangi pencapaian pada edisi lalu selepas kedua-dua wakil dari Asia Tenggara (ASEAN) itu berjaya meloloskan diri ke pusingan 16 Piala Dunia Futsal 2021 yang sedang berlangsung di Lithuania.
Meskipun kedua-dua pasukan menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga, empat mata yang diraih selepas mengharungi tiga perlawanan sudah cukup untuk menjadikan dua jiran serantau kita itu sebagai antara pasukan terbaik dalam kalangan empat pasukan di kedudukan ketiga untuk mara ke peringkat kalah mati.
Vietnam yang beraksi lebih awal berbanding Thailand mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika berdepan Republik Czech dalam satu aksi yang cukup mendebarkan di Zalgiris Arena, Kaunas.
Selepas berusaha keras dalam memburu jaringan, Chau Doan Phat memecah kebuntuan pada minit ke-35 untuk memberikan kelebihan buat skuad kendalian Pham Giang Minh itu.
Bagaimanapun, kelebihan tersebut hanya bertahan seminit apabila pemain berpengalaman, Lukas Resetar menyamakan kedudukan sekali gus perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri untuk membolehkan Republik Czech menduduki tangga kedua.
Sementara itu, Thailand pula berpesta jaringan keatas Solomon Islands dengan kemenangan 9-4 tetapi keputusan tersebut masih tidak mampu meletakkan mereka di kedudukan kedua selepas pencabar terdekat, Maghribi berjaya mengikat juara kumpulan C, Portugal.
Peledak berbisa Thailand, Suphawut Thueanklang jelas mencuri tumpuan setelah pemain yang berkelana ke Jepun untuk beraksi bersama Nagoya Oceans itu meledakkan hatrik pada perlawanan ini.
Selain itu, Jirawat Sornwhician terus membuktikan kemampuannya dengan satu gol dihasilkan sekali gus beliau telah memahat nama selaku penjaring gol pada kesemua tiga perlawanan Thailand di peringkat kumpulan.
Baki lima lagi jaringan lagi buat Thailand telah disumbangkan oleh Jetsada Chudech (dua gol) serta masing-masing satu gol daripada Nawin Rattanawongswas, Kritsada Wongkeao dan Peerapat Kaewwilai.
Sementara itu, Solomon Islands pula berjaya mendapatkan jaringan menerusi Elliot Ragomo (dua gol), Mana dan Sia.
Kemaraan Vietnam dan Thailand ini menyaksikan sudah empat wakil dari benua Asia melayakkan diri ke pusingan 16 selepas sebelum ini Iran dan Uzbekistan mengesahkannya.
Satu lagi wakil Asia, Jepun turut mampu mengikuti jejak langkah empat pasukan tersebut sekiranya mampu meraih keputusan positif bertemu Paraguay, malam ini.
Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.
Piala Dunia Futsal: Tundukkan Mesir, Uzbekistan Isi Slot Pusingan 16
Piala Dunia Futsal: Vietnam, Thailand Hidupkan Peluang Ke Pusingan 16