Vietnam segera melupakan kekalahan besar dialami ketika bertemu Brazil tempoh hari apabila berjaya menundukkan Panama 3-2 pada aksi kedua kumpulan D Piala Dunia Futsal 2021 yang berlangsung di Klaipeda Arena, Lithuania malam tadi.
Kemenangan penting yang dilakarkan skuad kendalian Pham Giang Minh itu tidak hadir dengan mudah selepas kelebihan dua gol yang dimiliki pada minit awal permainan berjaya dipadamkan Panama.
Vietnam memperoleh jaringan pendahuluan seawal minit kedua setelah Nguyen Minh Tri menyudahkan peluang dimilikinya dalam kawasan D dengan menolak masuk bola hantaran ke dalam daripada Chau Doan Phat.
Kelebihan itu terus dilebarkan Vietnam berselang enam minit kemudian apabila rembatan padu Doan Phat setelah menerima hantaran Le Quoc Nam tidak mampu dihalang penjaga gol Panama, Jorge Hernandez.
Tersentak dengan dua jaringan tersebut, Panama tampil dengan lebih baik dan berjaya merapatkan defisit jaringan pada minit ke-10 menerusi Abdiel Castrellon.
Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung babak pertama, Castrellon cemerlang menyudahkan sepakan penalti kedua [second spot penalty] selepas Vietnam melakukan enam kesalahan terkumpul untuk kembali mengikat kedudukan.
Nguyen Van Hieu muncul wira buat Vietnam apabila beliau berjaya merampas bola dari kaki Ramirez Ortiz di kawasan sendiri dan kemudiannya melakukan larian solo ke arah gawang Panama untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-27.
Sekiranya Vietnam berjaya menundukkan Republik Czech pada aksi terakhir nanti, mereka berkemungkinan akan menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua sekali gus akan layak ke pusingan 16.
Sementara itu, satu lagi wakil kebanggaan dari Asia Tenggara (ASEAN), Thailand menarik nafas lega selepas jaringan Jirawat Sornwhician menerusi taktikal ‘power play’ ketika perlawanan hanya berbaki 11 saat untuk ditamatkan berjaya mengikat Maghribi 1-1.
Ketinggalan pada minit ke-18 menerusi jaringan Youssef Jouad, Thailand berhempas-pulas untuk kembali mengikat kedudukan, namun barisan pemain Maghribi kelihatan cukup kental bertahan sehinggalah jaringan saat akhir dapat dihasilkan Jirawat.
Ketika Portugal dilihat bakal menghuni takhta kumpulan C, perebutan tempat kedua kelihatan menarik melibatkan Maghribi dan Thailand.
Thailand akan berhadapan Solomon Island pada perlawanan terakhir manakala Maghribi pula bakal membuat perhitungan dengan pendahulu kumpulan C, Portugal.
Sama seperti format pusingan 16 ketika saingan Euro 2020 tempoh hari, empat pasukan pada kedudukan ketiga bagi peringkat kumpulan yang terbaik turut akan layak ke pusingan 16.
Gambaran awal memperlihatkan Vietnam dan Thailand memiliki peluang cerah dan berada di kedudukan terbaik untuk mara ke pusingan 16 meskipun hanya menamatkan peringkat kumpulan di tempat ketiga.